Home Sukan KBS KEKAL ANJUR LTDL UNTUK TIGA TAHUN

KBS KEKAL ANJUR LTDL UNTUK TIGA TAHUN

89
0

PUTRAJAYA: Memetik laporan menerusi Harian Metro status perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) akhirnya terjawab apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disahkan kekal sebagai penganjur untuk tiga tahun lagi dengan peruntukan RM12 juta.

Keputusan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri bagi memastikan kesinambungan penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan.

Menurutnya, kertas cadangan sudah dibentangkan pada semalam bagi meletakkan LTdL di bawah KBS sebagai peneraju utama perlumbaan.

Beliau berkata, pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebagai antara penganjur terbaik dunia menjadi pemangkin keyakinan untuk terus mengendalikan perlumbaan itu.

“Kita mendapat pengiktirafan global daripada UCI, jadi kita yakin LTdL mampu dilaksanakan dengan sebaik mungkin sama seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Bagi edisi tahun ini, Taufiq menjelaskan dana yang sama iaitu RM12 juta akan digunakan menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), namun usaha mendapatkan tajaan tambahan terus dipergiatkan.

“Tahun ini kita berpegang kepada RM12 juta, tetapi kita terbuka untuk sebarang perbincangan bagi mendapatkan tajaan kerana ia amat penting.

“Tahun lalu kos sekitar RM18 juta, jadi kita akan terus berusaha mendapatkan penajaan supaya tidak membebankan kerajaan,” katanya.

Beliau mengakui cabaran utama tahun ini adalah tempoh persiapan yang singkat, namun optimis penganjuran tetap dapat dilaksanakan dengan baik termasuk menarik penyertaan pasukan bertaraf WorldTeam.

Mengulas mengenai laluan perlumbaan, Taufiq berkata senarai awal sudah disediakan namun masih dalam perbincangan bersama kerajaan negeri dan pihak berkaitan.

LTdL dijadual berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini berdasarkan kalendar UCI.

Sebelum ini, perlumbaan bertaraf UCI ProSeries itu berdepan ketidaktentuan selepas kontrak tiga tahun Majlis Sukan Negara (MSN) tamat sejurus edisi lalu berakhir, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut dikaitkan sebagai penganjur baharu.

Bagaimanapun, keputusan mengekalkan KBS sebagai peneraju dilihat langkah terbaik bagi memastikan kelancaran penganjuran selepas pengalaman positif sejak 2023. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here