Home Buletin Semasa LELAKI CUBA BUNUH POLIS DENGAN SEBILAH PARANG CEDERA DITEMBAK

LELAKI CUBA BUNUH POLIS DENGAN SEBILAH PARANG CEDERA DITEMBAK

117
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

MACHANG: Polis melepaskan beberapa das tembakan terhadap seorang lelaki yang cuba membunuhnya ketika sedang melakukan pemeriksaan ke atas dua individu di hadapan Universiti Teknologi Mara (UITM), di sini malam, tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.17 malam semasa sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.

”Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas dua individu lelaki itu, salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dan melibas ke arah anggota polis.

”Bagi mempertahankan diri serta mengelakkan kecederaan serius, anggota polis itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri sebelum berjaya ditahan dalam satu operasi segera di kawasan berhampiran manakala rakan suspek yang berada di lokasi kejadian melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

”Suspek yang ditahan mengalami kecederaan di bahagian paha dan kini sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

”Tiada sebarang kecederaan dilaporkan ke atas anggota polis yang terlibat,” katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan, pihak polis merampas satu bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut selain turut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau yang signifikan melibatkan kes dadah, ugutan jenayah, senjata berbahaya, menghalang tugas penjawat awam, keganasan rumah tangga, menerima harta curi, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah.

Mohd. Yusoff berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here