Home Sukan 12 KELAB HANGATKAN LIGA SUPER 2026/27, PDRM HITUNG NASIB

12 KELAB HANGATKAN LIGA SUPER 2026/27, PDRM HITUNG NASIB

28
0

KUALA LUMPUR: Liga Super musim 2026/2027 bakal tampil lebih kompetitif apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan hanya 12 kelab akan beraksi musim ini, dengan satu lagi slot masih menunggu keputusan membabitkan PDRM FC.

Memetik laporan Harian Metro, setakat ini 11 kelab sudah mengesahkan penyertaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.

Status PDRM FC akan diputuskan pada 16 Julai ini selepas badan bebas First Instance Body (FIB) menilai maklumat tambahan yang perlu dikemukakan kelab itu bagi memenuhi kriteria kewangan dan infrastruktur.

Menurut MFL, sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, slot terakhir Liga Super akan diberikan kepada Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu di tangga keempat.

MFL memaklumkan pengurangan kepada 12 pasukan bertujuan memastikan hanya kelab yang benar-benar bersedia dari aspek pelesenan, kewangan dan infrastruktur dibenarkan bertanding.

Langkah itu juga dilihat mampu mengukuhkan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP), mengurangkan risiko masalah kewangan kelab serta membolehkan jadual pertandingan disusun dengan lebih teratur.

Tirai Liga Malaysia musim 2026/2027 akan dibuka menerusi Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah membabitkan JDT dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos, yang turut dikira sebagai aksi pembukaan Liga Super.

Saingan Liga Super dijadual berakhir pada 23 Mei tahun depan, manakala Piala FA bermula pada September 2026, diikuti Piala Malaysia pada Januari 2027 dan Piala Cabaran MFL pada Februari 2027.

MFL memaklumkan sebarang pindaan terhadap kalendar pertandingan adalah tertakluk kepada keputusan badan pengelola itu.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here