Home Hiburan XPDC KPY TAK HIRAU ISU KONSERT HAMBAR, JANJI AKSI PADU

XPDC KPY TAK HIRAU ISU KONSERT HAMBAR, JANJI AKSI PADU

Kuala Lumpur : “Itu masalah penganjur dari segi promosi. Bagi kami, bayaran kami tetap dijelaskan dengan baik. Walau berapa ramai pun yang datang, tanggungjawab kami adalah memberikan persembahan muzik yang terbaik diatas pentas,” kata Zuar, anggota band legenda XPDC Kita Peng Yu (KPY).

Memetik laporan Harian Metro, Zuar juga pemain bass berkata demikian bagi mengulas kegagalan mereka menarik kehadiran penonton pada Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 yang berlangsung di Padang Pekan Daerah Kunak, Sabah pada 8 Ogos lalu.

Konsert ini dikatakan tidak mencapai objektif penganjur apabila dihadiri tidak sampai 100 penonton sedangkan mereka mengharapkan kehadiran ramai peminat.

Malah ia kegagalan kedua XPDC KPY untuk menawan peminat Borneo selepas konsert di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah, pada 26 Julai tahun lalu berhadapan situasi sama.

Zuar berkata, asalkan mereka menerima bayaran penuh, ia tetap menjadi rezeki mereka dalam bidang muzik.

“Walaupun orang tak ada, kalau penganjur bayar, kami tetap main. Peminat yang datang dapat menilai dan puas hati dengan persembahan yang ditampilkan.

“Mengenai provokasi segelintir pihak yang mengkritik kami, itu biasalah. Zaman sekarang, isu politik pun orang bertegang leher, apa lagi hal muzik.

“Ada sahaja yang mencari kesalahan orang lain, jadi kita tak layan sangat. Yang penting penganjur bayar penuh, persembahan kita padu, dan kita fokus beri yang terbaik untuk peminat yang betul-betul menghargai.

“Provokasi itu ibarat sambal dalam makanan, ia mesti ada,” katanya yang tidak mengambil serius perkara ini.

Dalam perkembangan berkaitan XPDC KPY yang turut dianggotai Ary (vokalis), Jeff (gitar) dan Amy (dram) akan menjayakan Konsert Headbang Live & Loud buat peminat di Lembah Kelang yang menampilkan tiga segmen berbeza.

Segmen pertama menampilkan XPDC Kita Peng Yu, segmen kedua untuk memperingati arwah Mael, sebagai tribute, manakala segmen terakhir pula khas untuk album Metal 60-an yang dihasilkan pada 1997.

Konsert yang turut menampilkan Jatt dan Yan Lefthanded ini akan berlangsung di Odeon KL pada 22 Ogos ini.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here