Home Luar Negara WHO RAYU BANTUAN AS$392 JUTA UNTUK YAMAN

WHO RAYU BANTUAN AS$392 JUTA UNTUK YAMAN

207
0

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam merayu bantuan berjumlah AS$392 juta (RM1.745 bilion) menjelang persidangan penderma yang diketuai pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) di Geneva bagi mengelakkan ‘Potensi Keruntuhan’ sektor kesihatan di Yaman yang dilanda perang.

Gesaan itu dibuat memandangkan negara itu berdepan salah satu tragedi kemanusiaan terburuk di dunia selepas perang saudara berlanjutan selama lapan tahun membabitkan pemberontak Huthi yang disokong Iran dan tentera kerajaan yang memperoleh sokongan Arab Saudi.

Menurut WHO hampir separuh daripada semua kemudahan kesihatan di Yaman hanya berfungsi sebahagiannya atau langsung tidak boleh digunakan kerana kekurangan kakitangan, dana, elektrik, ubat-ubatan, bekalan dan peralatan.

“Yaman memerlukan sokongan segera dan teguh, untuk mengelakkan potensi keruntuhan sistem kesihatannya.

“Pembiayaan baharu berjumlah AS$392 juta diperlukan untuk memastikan kemudahan kesihatan dapat terus menyediakan perkhidmatan kepada 12.9 juta penduduk di sini,” kata wakil agensi Yaman, Adham Abdel Moneim Ismail dalam satu kenyataan.

Menurut Ismail, mereka yang memerlukan bantuan termasuk 540,000 kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun yang menghadapi kekurangan zat makanan akut yang teruk dengan mereka berdepan risiko kematian.

Ayuan itu dibuat sehari sebelum mesyuarat penderma dianjurkan oleh PBB, Switzerland dan Sweden.

PBB menganggarkan 21.6 juta orang atau dua pertiga daripada penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan pada tahun ini.

Untuk rekod, konflik yang berlarutan di negara itu telah mencetuskan satu daripada krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, dengan berjuta-juta orang menderita kelaparan.

Sumber: AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here