KUALA LUMPUR: Datuk Pandelela Rinong akan bertemu dengan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi menjelaskan dakwaannya berhubung kemelut dalaman yang timbul hingga menjejaskan prestasi penerjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini.
Memetik laporan menerusi berita harian,Penerjun berusia 30 tahun itu yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, berkata apa yang disuarakannya itu belum diperjelaskan secara terperinci kerana dia mahu pihak yang berkaitan mengetahuinya terlebih dahulu.
“Saya sangat kecewa kerana saya tidak memberi alasan pun atas kekalahan kali ini tetapi dah media tanya, saya terpaksa jawab namun tidak beri penjelasan secara terperinci.
“Saya katakan ada sesuatu berlaku kepada pasukan yang memberi kesan besar kepada kami penerjun senior dan junior dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya belum memberi penjelasan terperinci lagi kerana mahu pihak yang berkaitan mengetahuinya terlebih dahulu.
“Saya belum lagi berjumpa persatuan untuk berbincang tentang masalah yang dihadapi dan saya sangat sedih artikel ini dikeluarkan dahulu,” katanya menerusi hantaran di Instastory miliknya, hari ini.
Hantaran Pandelela itu dipercayai merujuk kepada laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung MAS, Andy Low yang menyifatkan penerjun negara itu hanya memberi alasan bagi menutup kegagalannya di Doha kerana pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai kemelut yang melanda sebelum kejohanan berlangsung.
Andy berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Pandelela sebelum itu yang mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.-BH Online-
Imedikel TV






