COPENHAGEN: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola gembira dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan FC Copenhagen 3-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Kevin De Bruyne sekali lagi beraksi cemerlang untuk juara Inggeris itu dengan meledak gol pembukaan dan memainkan peranan dalam dua lagi jaringan City di laman lawan yang pernah menyaksikan Manchester United tumbang 4-3 di peringkat kumpulan.
“Pemain terhebat tampil di pentas terbesar, ia saat kebenaran dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.
“Hari ini kami bermain dengan sempurna – bersabar pada masa yang betul, mereka sangat tersusun. Saya bangga dengan pasukan sekali lagi.
“Ia belum selesai, gol ketiga amat membantu kami dan saya harap kami mampu menyelesaikannya di laman sendiri,” kata Guardiola.
Selepas jaringan minit ke-10 De Bruyne, tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Magnus Mattsson, yang membuat penampilan pertama bersama Copenhagen.
Malangnya kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Bernardo Silva meletakkan kembali City di depan sebelum rehat.
Sepanjang babak kedua, City kelihatan seperti akan pulang dengan bekalan kelebihan satu gol menentang pasukan yang mampu melakukan kejutan, tetapi jaringan masa kecederaan Phil Foden menjadikan kedudukan 3-1.
Guardiola turut bersimpati dengan pemain sayapnya, Jack Grealish yang terpaksa dikeluarkan pada babak pertama akibat kecederaan pangkal paha.
“Malang kerana dalam perlawanan sebegini kami memerlukan tempo, kawalan seperti ini. Bernardo dan Jack sangat membantu dalam membuat hantaran tambahan di bahagian serangan,” katanya.
-REUTERS,BH Online-
Imedikel TV






