Home Buletin Semasa WARGA EMAS DITAHAN, TANAMAN HIASAN LEBIH RM600 RIBU DIRAMPAS

WARGA EMAS DITAHAN, TANAMAN HIASAN LEBIH RM600 RIBU DIRAMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara mematahkan cubaan membawa masuk tanaman hiasan secara tidak sah dalam satu operasi bersepadu, Op Taring Wawasan, di Kampung Kubang Rambutan, di sini, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, sepasukan anggota PGA menahan sebuah lori yang mencurigakan semasa rondaan rutin di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 5,000 anak pokok pinang di dalam kenderaan tersebut.

“Difahamkan, tanaman berkenaan disyaki mengandungi serangga perosak dan penyakit yang boleh mengancam ekosistem pertanian negara,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau pemandu lori, seorang lelaki berusia 61 tahun, dipercayai bertindak sebagai penghantar kepada tanaman terbabit untuk pasaran tempatan.

“Anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan adalah sekitar RM670,000. Kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167), Seksyen 5.

“Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut, “katanya.

PGA dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan tanaman di Malaysia kekal bebas daripada ancaman serangga perosak dan penyakit berbahaya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here