MUNICH: Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich dan Borussia Dortmund masing-masing meledak dua gol pada babak kedua perlawanan sebelum terikat 2-2 sekali gus mengekalkan Bayern enam mata di hadapan dengan baki lima perlawanan.
Mereka kini memperoleh 69 mata, mendahului pasukan di tempat kedua Bayer Leverkusen yang sebelum ini seri tanpa jaringan dengan Union Berlin.
Bayern, yang dijadual berkunjung ke laman Inter Milan untuk aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini selepas tewas 1-2 minggu lalu, dilihat menguasai babak pertama dengan memperoleh banyak peluang berharga.
Penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel jelas ‘sibuk’ di posisinya dan berjaya menafikan dua percubaan Harry Kane selain menghalang usaha jaringan dilakukan Michael Olise pada minit ke-40.
“Sehingga gol pertama… kami mencipta peluang dan perlawanan tampak lebih kurang berpihak kepada kami,” kata pengendali Bayern, Vincent Kompany.
“Selepas gol pertama, ia menjadi seperti perlawanan Piala. Saya mungkin membeli tiket untuk melihat perlawanan seperti ini tetapi sebagai jurulatih, kamu mahukan lebih kawalan.
“Namun apa yang kami mahukan ialah kekal enam mata di hadapan Leverkusen hujung minggu ini, dan kami berjaya mencapainya.”
Dortmund begitupun membuka tirai jaringan pada awal babak kedua menerusi Maximilian Beier sebelum pemain Bayern, Raphael Guerreiro kembali menyamakan kedudukan perlawanan pada minit ke-65.
Bayern kemudian mendahului perlawanan apabila pemain gantiannya, Serge Gnabry meledak jaringan hasil daripada gerakan solo dilakukannya.
Dortmund yang terdesak memburu penamat liga dalam kelompok empat terbaik yang menjamin tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, begitupun bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Waldemar Anton pada minit ke-75 selepas penjaga gol Bayern, Jonas Urbig, menepis sepakan gunting Serhou Guirassy.
Dortmund yang dijadual melayan kunjungan Barcelona dalam aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini selepas tewas 0-4 pada Rabu lalu, berada di tangga kelapan liga dengan 42 mata, enam mata di luar kelompok empat terbaik. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






