Home Buletin Semasa SYARIKAT CHINA DIDENDA RM50 RIBU CURI BEKALAN AIR AKSB

SYARIKAT CHINA DIDENDA RM50 RIBU CURI BEKALAN AIR AKSB

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebuah anak syarikat pembinaan konglomerat kejuruteraan dari China dikenakan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 2019.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman kepada syarikat berkenaan yang diwakili pengurus projek Yang Chuangang, 51 selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas OKS membuat pembayaran ganti rugi sebanyak RM42,690 kepada AKSB.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu secara menyalahi undang-undang membuat sambungan ke sesalur utama awam tanpa kebenaran AKSB bertempat di Seksyen 12, Bandar Kota Bharu, pada 11 September 2019.

Berdasarkan fakta kes, operasi serbuan dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama AKSB selepas menerima aduan rasmi dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan air terawat digunakan sepenuhnya di tapak tersebut.

Antara peralatan yang dirampas adalah satu unit simpai logam (ferrule), sebatang paip poli dan pili air putih yang disambungkan secara tersembunyi di bawah timbunan besi binaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 123(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPAN, Mohd Suhairy Zakaria bersama Pegawai Pendakwa Thilaga Shanmugam.

Thilaga berkata, tindakan syarikat itu cenderung bermotifkan keuntungan komersial semata-mata bagi melaksanakan projek bernilai RM89 juta, dan bukan disebabkan keperluan mendesak.

“AKSB sangat terkesan dengan perbuatan ini kerana perlu menanggung kos tinggi untuk membekalkan air terawat dan boleh menjejaskan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan mahkamah wajar mengambil kira pendekatan serius Parlimen melalui pindaan terkini Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 tahun ini yang memperkukuh tindakan terhadap jenayah kecurian air dan kepentingan awam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here