Home Sukan MARQUEZ UNGGULI GP QATAR

MARQUEZ UNGGULI GP QATAR

DOHA: Pelumba Ducati, Marc Marquez kembali menaiki puncak podium dengan menjuarai Grand Prix (GP) Qatar awal pagi tadi meskipun mengalami kerosakan pada motosikal akibat pelanggaran dengan adiknya, Alex Marquez, pada pusingan pertama.

Marquez yang meraih petak utama keempat berturut-turut dengan rekod masa terpantas serta kemenangan keempat perlumbaan pecut semalam menang di Litar Antarabangsa Lusail buat kali pertama sejak 2014.

Pelumba Red Bull KTM Tech3, Maverick Vinales, menamatkan perlumbaan di tempat kedua tetapi dikenakan penalti 16 saat kerana melanggar peraturan tekanan tayar, sekaligus memberikan tempat kedua kepada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.

Pelumba VR46 Racing, Franco Morbidelli, yang sempat mendahului perlumbaan pada awalnya, dinaikkan ke tempat ketiga.

Kemenangan itu meletakkan Marquez di kedudukan teratas carta pelumba dengan 123 mata, 17 mata di hadapan Alex, manakala Bagnaia berada di tempat ketiga dengan 97 mata.

“Saya perlu awasi tayar hadapan, jadi atas sebab itu saya tenang pada bahagian awal perlumbaan,” kata Marquez.

“Morbidelli sedang mendahului, tetapi saya sudah jangka sejak semalam berdasarkan rentak yang dia tidak akan pantas pada bahagian kedua perlumbaan.

“Saya terkejut apabila Maverick memotong saya. Saya ingatkan itu (Pedro) Acosta kerana biasanya dia paling laju dengan KTM. Dia sangat laju, tetapi saya simpan tenaga untuk penghujung perlumbaan. Menang di Qatar memang luar biasa.”

Marquez memulakan perlumbaan dengan sempurna dan terus memimpin di selekoh pertama, tetapi perlanggaran dengan pelumba Gresini Racing, Alex Marquez, menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang motosikal Marc.

Morbidelli yang bermula dari petak keempat mengambil kesempatan dan memintas ke hadapan. Nasib Alex kurang baik apabila dia terlibat dalam satu lagi perlanggaran, kali ini dengan pelumba VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio, yang menyebabkan kedua-duanya kehilangan kedudukan.

Alex terus mengangkat tangan sebagai tanda minta maaf dan penalti dikenakan oleh pengadil untuk menduduki tempat ke tempat ke-12 sekali gus mengakhiri harapan podium selepas menamatkan kesemua perlumbaan dan pecut musim ini di tempat kedua. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here