Home Hiburan SHUKRI JAGA HATI ISTERI BERNIQAB

SHUKRI JAGA HATI ISTERI BERNIQAB

PUTRAJAYA: Sering dilabel lelaki setia tidak pernah menjadikan pelakon, Shukri Yahaya lupa diri atau bangga dengan pujian diberikan.

Sebaliknya, pemilik nama lengkap, Mohd Shukri Yahaya, 37, ini berkata, pujian lebih membuatkannya berpijak di bumi nyata dan mengingatkan diri mengenai tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Saya tidak pernah bangga dilabel sebagai lelaki setia, sebaliknya pujian lebih kepada peringatan supaya lebih berhati-hati dalam apa juga yang saya lakukan. Sebelum buat sesuatu, saya kena fikir apa kesannya kepada isteri dan anak-anak.

“Saya tak mahu perkara tidak elok berlaku ke atas mereka,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan gala filem Blood Brothers: Bara Naga di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Andai Itu Takdirnya ini memberi jaminan tidak akan ada lagi babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam lakonan.

Ini susulan perubahan penampilan isteri, Tya Adnan yang sudah mengenakan niqab.

“Rasanya, sudah tak ada saya nak berlakon pegang tangan pelakon wanita. Harapnya saya terus istiqamah, jaga hati isteri dan keluarga. Doakan saya,” ungkap Shukri.

Mengenai pujian diterima keluarganya, dia tidak menolak kemungkinan disebabkan netizen berasa rindu melihat mereka. Ini berikutan prinsip dipegang Shukri, iaitu tidak terlalu terbuka berkongsi foto keluarga dalam media sosial.

“Saya jarang berkongsi mengenai keluarga dalam media sosial, hanya ketika Aidilfitri. Bagi saya, pujian mungkin sebab orang nak luah rasa rindu nak tengok keluarga kami, saya lihat perkara itu secara negatif.

Selain pujian, ada juga komen yang bagi saya, tak perlu komen pun tak apa. Tapi, saya okay sahaja,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Tya pada 20 November 2015.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Aaira Ameena, 9, dan Maleeq Miqayl, 5.

Berkongsi watak Fadlan dalam filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Shukri berkata, watak itu agak sukar untuk dibawakan.

“Susah nak bawa watak ini kerana kita tak nak orang tahu siapa Fadlan sebenarnya. Jadi, saya kena pastikan cara pembawaan karakter membuatkan orang tak boleh jangka.

“Saya tak pasti jika ada yang menyamakan watak saya seperti Joker, namun apa yang dilihat dalam filem ini adalah hasil perbincangan saya dan pengarah. Kami mahu perubahan ke atas Fadlan disebabkan sikapnya terlalu memendam perasaan,” ujarnya.

Filem terbitan Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu menemui penonton di pawagam bermula, Khamis lalu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here