NEW DELHI: Seorang wanita bertindak nekad duduk sebelum berbaring di tengah jalan berhampiran Jantar Mantar, Delhi dan enggan berundur selagi tidak dapat bertemu serta memeluk Ketua Menteri Tamil Nadu yang juga pelakon terkenal, Vijay.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, tindakannya itu dirakam pada 29 September lalu sebelum video berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk rasa terhibur, tidak percaya dan bimbang.
Memetik laporan Free Press Journal (FPJ), video yang dimuat naik ke Instagram oleh pencipta kandungan Syed Qamar Ali itu memaparkan wanita berkenaan duduk di atas jalan ketika anggota polis cuba memujuknya supaya berundur dan mengosongkan kawasan terbabit.
Apabila ditanya mengenai tindakannya, wanita itu dilaporkan menegaskan bahawa dia tidak akan beredar selagi Vijay tidak datang menemuinya dan memeluknya.
Pada satu ketika, dua anggota polis wanita dilihat cuba mengalihkan wanita berkenaan dari jalan raya, namun dia membantah sambil berkata, “Jangan sentuh saya, ini hak saya.”
Perakam video turut mempersoalkan tindakan wanita itu yang menyusahkan pengguna jalan raya dan anggota polis kerana terus berdegil berada di situ.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menasihatinya, wanita berkenaan dilaporkan tetap bertegas dengan tuntutannya.
Tindakan wanita berkenaan menarik perhatian pengguna media sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap kesungguhannya untuk bertemu Vijay.
Seorang pengguna media sosial mengulas, “Apa lagi yang kena tengok ni” manakala seorang pengguna lain secara sinis mencadangkan wanita itu menunggu Vijay di Chennai dan bukannya di Delhi.
Sementara itu, segelintir pengguna media sosial turut memberi perhatian kepada anggota polis yang dilihat cuba mengawal keadaan selain meluahkan rasa simpati terhadap mereka.
Klip itu menarik perhatian ramai kerana wanita itu memilih jalan raya yang sibuk di Delhi untuk membuat tuntutannya.
Bagaimanapun, tiada petunjuk dalam rakaman menunjukkan kehadiran Vijay di Jantar Mantar atau pertemuan antara wanita berkenaan dengan pelakon itu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






