OVIEDO: Lamine Yamal meneruskan prestasi cemerlangnya di depan gawang ketika Sepanyol menewaskan Republik Czech 3-1 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, juara dunia itu kini tiga mata di depan England di puncak Kumpulan A3 selepas skuad kendalian Thomas Tuchel membelasah Croatia 7-0 di Rijeka, sebelum itu.
Sepanyol selesa mendahului menerusi jaringan Yamal dan kapten Rodri Hernandez, namun Jiri Slama menghidupkan peluang Republik Czech apabila merapatkan jurang dengan baki 20 minit permainan.
Bagaimanapun, Mikel Merino memastikan kemenangan Sepanyol pada lewat permainan selepas Ladislav Krejci dilayangkan kad merah, sekali gus membolehkan Sepanyol melanjutkan rekod kepada 41 perlawanan tanpa kalah, termasuk kemenangan ke atas Argentina pada final Piala Dunia Julai lalu.
“Mereka bermain dengan tersusun. Saya menjangkakan ini antara perlawanan paling sukar dan begitulah keadaannya.
“Ia sukar, tetapi kami mencipta beberapa peluang. Ada perlawanan yang kami tidak mampu mencipta banyak peluang, tetapi pasukan berjaya mengawal perlawanan,” kata Rodri kepada penyiar Sepanyol, TVE, selepas Sepanyol meraih kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan kumpulan.
Bekas pemain tengah Manchester City itu menjaringkan gol pertamanya bersama Sepanyol dalam tempoh lebih dua tahun.
“Sentiasa istimewa untuk menjaringkan gol bersama pasukan kebangsaan. Saya tidak banyak menjaringkan gol sebelum ini, jadi kita lihat sama ada saya sudah menemui rentak itu. Penting untuk semua pemain menyumbang jaringan,” katanya.
Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente melakukan beberapa perubahan di Oviedo berbanding kemenangan ke atas Croatia pada Selasa lalu, termasuk memberikan penampilan sulung kepada pertahanan tengah Ivan Fresneda dan penyerang Roberto Fernandez.
Namun, salah seorang bintang utama Sepanyol mencuri tumpuan pada awal permainan, sesuatu yang semakin menjadi kebiasaannya.
Yamal yang menjaringkan gol pada minit kedua ketika Sepanyol menentang England dan Croatia, kali ini memerlukan enam minit untuk membuka jaringan.
Pemain sayap berusia 19 tahun itu yang menjadi antara calon utama Ballon d’Or menghasilkan penyudah menarik dari sebelah kanan kotak penalti sebelum melakukan rembatan lencong ke penjuru atas selepas melakukan sentuhan untuk membuka ruang.
“Kami bermain dengan baik dan saya sangat gembira. Saya tidak sabar untuk kembali bersama pasukan kebangsaan selepas Piala Dunia dan tiada cara lebih baik daripada ini,” kata Yamal.
De la Fuente dilihat memegang kepala tanda terkejut dengan kualiti jaringan Yamal itu, yang menjadi gol ke-12 pemain berkenaan dalam sembilan perlawanan terakhir bersama kelab dan negara.

“Saya rasa dia tidak pernah berhenti mengejutkan kami, malah kita semua. Dia mempunyai begitu banyak bakat dan kualiti sehingga kami masih belum melihat versi terbaik Lamine.
“Dia masih mempunyai banyak lagi untuk ditawarkan kerana dia begitu berkualiti, berbakat dan mempunyai potensi yang sangat besar,” kata De la Fuente.
Rakan sepasukan Yamal di Barcelona, Rodri menggandakan kelebihan Sepanyol selepas 35 minit apabila dia masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas selepas bola jatuh tepat kepadanya.
De la Fuente mengeluarkan Yamal pada separuh masa untuk memberi peluang kepada bintang muda Barcelona itu berehat menjelang kunjungan menentang Croatia pada Selasa ini, menyebabkan tempo permainan sedikit menurun.
Rep Czech merapatkan jurang menerusi Slama yang menghasilkan penyudah rendah berkualiti menewaskan David Raya selepas Adam Hlozek menghantar bola kepadanya.
Penjaga gol Arsenal, Raya bernasib baik beberapa minit kemudian apabila kehilangan bola susulan hantaran yang tersasar ketika berada di luar gawang, namun pasukan pelawat gagal memanfaatkan peluang itu.
Raya sekali lagi melakukan kesilapan apabila bola terlepas daripada kawalannya dan Ryan Naderi menyudahkan peluang berkenaan, namun jaringan itu dibatalkan kerana kekasaran terhadap Robin Le Normand.
Usaha Republik Czech untuk bangkit menerima tamparan apabila Krejci dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana menarik Fernandez, sebelum Merino melengkapkan kemenangan Sepanyol. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






