Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, beliau sudah dimaklumkan berhubung insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa.
Menurutnya, siasatan menyeluruh perlu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar terbabit.
“Pada ketika ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media di laman rasmi beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat sudah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.
“JPNJ dan PPD Batu Pahat juga diminta memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah yang terkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
Bagaimanapun, katanya, sama ada insiden berkenaan mempunyai unsur terbabit perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukan melalui spekulasi.
“Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap anak Johor, tempat mereka menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah menghormati keluarga mangsa, memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti serta memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan bertanggungjawab.
“Sekali lagi, saya merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
IMedikel TV






