KUALA LUMPUR: Vietnam menjadi halangan terakhir perlu diatasi skuad bawah 16 (B-16) tahun negara dalam misi memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi.
Harimau Malaya B-16 meneruskan rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan Kumpulan C kempen kelayakan di Hanoi selepas menewaskan Singapura 2-1, semalam dan berkongsi 12 mata bersama tuan rumah, Vietnam.
Vietnam bagaimanapun menghuni tangga teratas kerana memiliki jumlah perbezaan gol lebih tinggi berbanding Malaysia dan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium PVF, malam esok.
Situasi itu menyaksikan skuad kendalian Javier Jorda Ribera tidak mempunyai pilihan lain selain wajib menang ke atas Vietnam kerana hanya juara kumpulan sahaja akan meraih tiket ke Arab Saudi.
Sedar dengan situasi itu, Ribera menjelaskan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk berdepan skuad Golden Star Warriors dan bermain habis-habisan untuk meraih kemenangan.
“Singapura sentiasa menjadi lawan yang sukar dan kami sudah tahu sebelum perlawanan bahawa kelayakan akhirnya akan ditentukan menerusi keputusan pertemuan dalam perlawanan terakhir menentang Vietnam.
“Hanya kemenangan yang akan membawa kami ke Arab Saudi 2026. Ahad ini (esok) menandakan penamat kempen kelayakan dan kami bersedia untuk mencabar Vietnam bagi meraih kemenangan,” katanya.
Perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2026 bagi Kumpulan C hanya membabitkan Vietnam dan Malaysia selepas empat pasukan lain termasuk Hong Kong, Singapura, Macau dan Kepulauan Mariana Utara sudah terkeluar dari persaingan. – BH Online –
IMedikel TV






