Home Luar Negara VIDEO GUNUNG FUJI MELETUS UNTUK PERSIAPAN PENDUDUK

VIDEO GUNUNG FUJI MELETUS UNTUK PERSIAPAN PENDUDUK

286
0

TOKYO: Selama 318 tahun tidak pernah meletus, Gunung Fuji baru-baru ini digambarkan mengalami letusan dahsyat menerusi siaran video yang dikongsi pihak berkuasa, minggu ini.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, bagaimanapun, ia hanya letusan daripada video janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai mempersiapkan kira-kira 37 juta penduduk Tokyo mengenai potensi musibah berkenaan.

Pengeluaran video simulasi letusan oleh pihak berkuasa itu juga sempena Hari Kesiapsiagaan Bencana Gunung Berapi, lapor Japan Today. Gunung Fuji dikatakan tidak meletus sejak 1707.

Menerusi simulasi itu, letusan digambarkan berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda awal dengan abu gunung berapi menutupi tengah Tokyo, kira-kira 100 kilometer dari pusat kawah, dalam tempoh beberapa jam.

Ia turut memberi gambaran sistem pengangkutan lumpuh, bekalan makanan dan elektrik terjejas serta kesan jangka panjang terhadap masalah pernafasan.

Rakaman itu diakhiri dengan mesej peringatan agar penduduk melengkapkan diri dengan fakta dan membuat persiapan dalam kehidupan seharian, antaranya menyimpan makanan dalam tin serta kit pertolongan cemas.

Setakat ini pihak berkuasa Tokyo menekankan tiada tanda Gunung Fuji bakal meletus.

“Simulasi ini direka untuk memberikan pengetahuan tepat dan langkah kesiapsiagaan yang boleh diambil penduduk sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan rasmi kerajaan.

Penduduk yang menonton video itu bagaimanapun resah dan ada yang menyifatkan ia sebagai mengelirukan.

Pekerja hospital, Shinichiro Kariya, 57, mempersoalkan mengapa wujud amaran mengenai kemungkinan 10 sentimeter abu boleh menutupi Tokyo.

“Adakah sebenarnya ada tanda letusan? Kenapa sekarang kita dengar perkara seperti ’10 sentimeter abu boleh jatuh’ termasuk di Tokyo? Saya tertanya-tanya kenapa semua ini tiba-tiba berlaku,” katanya.

Hiromi Ooki yang tinggal di Mishima, bandar dengan pemandangan indah Fuji pula membeli barang keperluan kecemasan sehari selepas menonton video itu.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Metropolitan Tokyo dan Bahagian Pencegahan Bencana Pejabat Kabinet Jepun berkata, setakat ini kedua-dua pihak tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk Tokyo berhubung video itu.

Pakar komunikasi risiko daripada Universiti Tokyo, Prof Naoya Sekiya menjelaskan, kerajaan sudah lama menjalankan pemodelan senario bencana, namun ia tidaklah bermaksud Gunung Fuji akan meletus dalam masa terdekat.

Pada Ogos lalu, Agensi Meteorologi Jepun buat pertama kali mengeluarkan ‘amaran gempa mega’ selepas satu gempa bumi kuat melanda pesisir tenggara pulau utama Kyushu.

Jepun yang terletak di Lingkaran Api Pasifik memiliki 111 gunung berapi aktif daripada kira-kira 1,500 di dunia dan pernah berdepan pelbagai bencana alam termasuk gempa bumi, taufan, banjir, tanah runtuh serta letusan gunung berapi. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here