LONDON: Bekas steward Formula Satu (F1), Johnny Herbert menyamakan Max Verstappen dengan Michael Schumacher kerana kebolehan mereka menggunakan ‘perang minda’.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Verstappen kembali meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Itali, Ahad lalu, kemenangan pertamanya sejak di Imola.
Pelumba Belanda itu mendominasi perlumbaan dari petak utama, menewaskan pemandu McLaren, Lando Norris dengan kelebihan lebih 19 saat.
Ia menjadi kebangkitan semula yang manis buat Verstappen selepas melalui prestasi tidak konsisten.
Selepas GP Hungary, di mana dia menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, Verstappen pernah mengisytiharkan bahawa dia tidak akan memenangi sebarang perlumbaan F1 pada 2025.
Namun hanya sebulan kemudian, Verstappen kembali garang dengan kemenangan ketiganya musim ini.
Bercakap kepada Adventure Gamers, Herbert berpendapat Verstappen sebenarnya sedang bermain ‘perang minda’.
“Prestasi di sesi kelayakan bukanlah mengejutkan kerana itulah yang Max lakukan. Max sentiasa bersedia apabila peluang itu datang kepadanya.
“Saya tahu dia pernah berkata sebelum rehat musim panas bahawa dia mungkin tidak akan menang lagi tahun ini. Itu adalah gaya klasik Michael Schumacher dengan perang mindanya. Kini ia dilakukan oleh Verstappen,” kata Herbert. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






