Home Buletin Semasa USAHAWAN B40 JANA PENDAPATAN SAMPINGAN DAN TETAPMENERUSI LATIHAN FAF

USAHAWAN B40 JANA PENDAPATAN SAMPINGAN DAN TETAPMENERUSI LATIHAN FAF

266
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program Pembangunan Usahawan F&B Yayasan TM (YTM FED) yang dilaksanakan dengan kerjasama Food Aid Foundation (FAF) memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf untuk membina masa depan lebih baik melalui latihan intensif dalam bidang kulineri serta bakeri.

Peserta program latihan usahawan FAF, Kamaruhisan Ismail, 38, dari Panchor, Pengkalan Chepa berkata program itu bukan sahaja memberi kemahiran kulinari dan bakeri kepada peserta, malah membuka peluang untuk mereka memperbaiki taraf hidup serta membina masa depan lebih cerah.

“Dulu saya seorang introvert, tetapi melalui kursus ini yang disertai Julai lepas, saya jadi lebih berani, nampak hala tuju untuk berniaga dan bercita-cita melahirkan produk brownies jenama sendiri selain kini aktif sebagai peniaga affiliate di TikTok dan Shopee,” katanya.

Sementara itu, Kang See Giok, 42, atau Trisha dari Kampung Chetok, Pasir Mas, menyifatkan penglibatan dalam kursus FAF pada April lalu sebagai peluang untuk menimba pengetahuan bakeri dari asas.

“Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dari Kolej MSU merancang menghasilkan roti berasaskan herba seperti kunyit hitam tanpa pewarna tambahan, sambil memanfaatkan hasil kebun organik yang diusahakan sendiri,” katanya yang menjaga bapa sakit tua.

Kedua-dua mereka berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Program Pembangunan Usahawan F&D di Pusat Kebajikan Food Aid Foundation Jalan Hospital, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar FAF Afraz Said berkata program bermula awal tahun ini melibatkan 87 peserta, terdiri daripada 40 graduan di Kuala Lumpur dan 47 di Kota Bharu dengan mereka kini meneruskan fasa bimbingan serta pemantauan sehingga hujung tahun.

“Latihan berlangsung selama empat bulan merangkumi kemahiran teknikal kulineri dan bakeri yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman termasuk chef daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta pakar industri makanan dan minuman.

“Peserta bukan sahaja diajar teknik memasak dan membuat pastri, malah turut dibekalkan ilmu keusahawanan meliputi aspek pemasaran, pengurusan pelanggan, strategi perniagaan serta penyelesaian cabaran apabila berhadapan dengan aduan pelanggan,” katanya.

Jelasnya, menerusi program di Kota Bharu yang diuruskan Pengurus Cawangan FAF, Norita Ali, antara keunikan program tersebut adalah sesi praktikal, di mana peserta diberi peluang memasak sendiri sebelum menjual makanan mereka kepada orang ramai, sekali gus mendedahkan mereka kepada dunia perniagaan sebenar.

Afraz berkata menerusi kaedah itu, graduan memperoleh keyakinan diri, pengalaman berharga dan pengetahuan praktikal yang membolehkan mereka memulakan perniagaan kecil sama ada dari rumah, secara dalam talian atau membuka gerai sendiri.

“Setiap peserta dipilih melalui sesi temu duga dengan syarat utama mereka berasal daripada golongan B40 atau asnaf yang benar-benar berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan serta sanggup komited mengikuti latihan sehingga tamat.

“Bagi memastikan kesinambungan kejayaan, mereka akan dipantau hingga 31 Disember tahun ini melalui kumpulan WhatsApp khas melibatkan mentor, fasilitator dan pengasas FAF, di mana segala persoalan atau masalah boleh dibincangkan serta dibimbing secara langsung,” katanya.

Katanya, hasil program, ramai graduan sudah mula berniaga, termasuk seorang peserta dari Pulau Suri, Tumpat yang mengusahakan makanan barat di pasar terapung, manakala ada juga yang menjual kek dan brownies melalui platform media sosial seperti TikTok dan WhatsApp.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here