Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUCHONG: Seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Kutip hasil aduan awam di sekitar Puchong, Selangor.
JIM dalam kenyataan semalam memaklumkan dalam operasi bersepadu itu, 334 individu diperiksa yang merangkumi 60 warga asing dan 274 warga tempatan.
“Daripada jumlah tersebut, 25 lelaki dan 30 wanita warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan dan tukang masak di beberapa premis makanan sekitar kawasan berkenaan,”menurut kenyataan itu.
JIM dalam kenyataan menegaskan, operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam melindungi pasaran kerja tempatan serta memastikan kehadiran warga asing di Malaysia sentiasa mematuhi undang-undang imigresen negara.
IMedikel TV






