Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan tiada kes penyalahgunaan dadah dikesan dalam kalangan anggotanya di negeri ini bagi tahun 2025.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, hasil pemantauan dan ujian air kencing yang dijalankan secara berkala mendapati semua anggota bebas daripada gejala dadah.
“Alhamdulillah, setakat tahun ini tiada kes dilaporkan melibatkan salah guna dadah dalam kalangan pegawai dan anggota bomba di Kelantan.
“Tahun lalu hanya satu kes direkodkan, itu pun melibatkan pengulangan kes yang sedang dalam proses tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, ujian air kencing dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun di setiap balai bomba, selain pemeriksaan mengejut dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sekiranya terdapat maklumat risikan atau aduan.
Tambahnya, usaha pemantauan berterusan ini penting bagi memastikan imej jabatan sentiasa bersih, selain meningkatkan kesedaran anggota mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menegaskan, JBPM Kelantan akan terus mempergiat kempen kesedaran melalui pelbagai medium termasuk media sosial bagi menyampaikan mesej bahawa dadah mampu merosakkan pertimbangan seseorang serta menjejaskan keselamatan orang ramai.
IMedikel TV






