Home Luar Negara UMAT ISLAM BERSOLAT DI AL-AQSA PADA HARI PERTAMA RAMADAN

UMAT ISLAM BERSOLAT DI AL-AQSA PADA HARI PERTAMA RAMADAN

219
0

Puluhan ribuan jemaah Islam mengerjakan solat Jumaat di perkarangan masjid Al-Aqsa pada hari pertama bulan suci Ramadan, kata wartawan AFP, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu.

Pihak berkuasa berkata solat di tapak ketiga paling suci umat Islam itu dilakukan dengan aman walaupun terdapat kebimbangan mengenai lonjakan keganasan baru-baru ini dalam konflik Israel-Palestin.

Perkarangan masjid di Kota Lama Baitulmaqdis Timur sebelum ini menyaksikan pertempuran ganas antara pejuang Palestin dan pihak berkuasa Israel, terutama semasa Ramadan.

Ketua Majlis Hal Ehwal Islam Wakaf Jordan, Azzam al-Khatib, yang mentadbir perkarangan itu, memberitahu AFP ‘solat berjalan dengan aman dan semuanya berjalan lancar’.

Menurut beliau 100,000 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat tetapi pihak polis Israel, yang mengerahkan 2,300 anggotanya berkawal di kota itu, melaporkan sekitar 80,000 hadir.

Orang ramai bertali arus memasuki pintu masuk Bab al-Silsilah ke perkarangan masjid dengan sejadah di tangan, manakala beberapa orang bergambar di hadapan kubah emas ikonik Masjid Kubah Batu.

Kawasan sama turut menempatkan lokasi paling suci penganut Yahudi, Temple Mount, sekali gus menjadi punca ketegangan dalam konflik Israel-Palestin.

Barisan panjang turut kelihatan di pos pemeriksaan Qalandiya, salah satu lintasan utama dari Tebing Barat yang diduduki ke Israel, selepas pihak berkuasa Israeli melonggarkan sekatan bagi warga Palestin di Tebing Barat memasuki Baitulmaqdis untuk solat.

Jurugambar AFP melihat seorang lelaki bertopeng mengibarkan bendera Briged Al-Qassam, sayap bersenjata kumpulan pejuang Hamas manakala kain rentang Hamas diletakkan di salah satu perkarangan masjid.

Namun lewat petang semalam ia diturunkan oleh polis Israel, bersama dua lagi bendera kumpulan pejuang Palestin.

Minggu lalu, Hamas memberi amaran kepada Israel bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang ‘pelanggaran’ di perkarangan masjid itu semasa Ramadan.

Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh al-Aruri, dalam satu kenyataan, berkata sebarang percubaan Israel untuk ‘melaksanakan’ dasarnya semasa Ramadan akan disambut dengan ‘reaksi pejuang Hamas’.

Sumber: BH Online & Reuters

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here