LAUSANNE: Badan induk bola sepak Eropah, UEFA mengesahkan mereka ‘dengan berat hati’ meluluskan penganjuran satu perlawanan La Liga Sepanyol dan satu perlawanan Serie A Itali masing-masing di Amerika Syarikat (AS) dan Australia, meskipun mendapat bantahan daripada kumpulan penyokong.
“Walaupun kami kesal kerana terpaksa membenarkan dua perlawanan ini diteruskan, keputusan ini adalah satu pengecualian dan tidak harus dijadikan sebagai duluan,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, dalam satu kenyataan, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, UEFA membuat keputusan itu selepas La Liga Sepanyol bersetuju memindahkan perlawanan yang dijadualkan pada penghujung Disember antara juara bertahan Barcelona dan Villarreal ke Miami, Florida.
Serie A Itali pula memilih untuk mengadakan perlawanan antara AC Milan dan Como pada 8 Februari di Perth, Australia, bagi mengelakkan pertindihan dengan majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan diadakan di Stadium San Siro, Milan.
Namun, keputusan itu mencetuskan bantahan dari kumpulan penyokong bola sepak Eropah yang menyifatkan langkah itu sebagai “tidak masuk akal, tidak mampu ditanggung, dan tidak bertanggungjawab dari segi alam sekitar.”
Dalam kenyataannya, UEFA menegaskan ia “mengulangi penolakan tegasnya terhadap perlawanan liga domestik yang dimainkan di luar negara asal.”
Namun, walaupun mendapat bantahan meluas daripada penyokong, liga-liga lain, kelab, pemain dan institusi Eropah, UEFA berkata, pihaknya tidak menemui sebarang kerangka peraturan jelas dalam statut FIFA yang membolehkannya menolak permintaan tersebut.
“Jawatankuasa Eksekutif UEFA dengan berat hati membuat keputusan untuk meluluskan, atas dasar pengecualian, dua permintaan yang dikemukakan kepadanya,” menurut kenyataan badan induk bola sepak Eropah itu.
Walaupun idea memindahkan perlawanan bola sepak Eropah ke benua lain kedengaran mengejutkan bagi ramai pihak, sukan lain terutamanya dari Amerika Syarikat telah melaksanakan strategi serupa selama bertahun-tahun, malah beberapa dekad.
NFL mengadakan perlawanan di London sejak 2007, selain turut berkembang ke Mexico dan Jerman.
Tahun lalu, satu perlawanan diadakan di Sao Paulo, dan tahun ini buat kali pertama diadakan di Dublin. Satu lagi dijadualkan berlangsung di Madrid pada bulan November, manakala Melbourne akan menjadi tuan rumah pada tahun 2026.
NBA, yang mula memindahkan perlawanan musim biasa ke Jepun sejak 1990 dan ke Eropah sejak 2013, menjadualkan enam perlawanan di Berlin, London, Manchester dan Paris bagi tiga musim akan datang.
Dalam ragbi kesatuan, pertandingan Top 14 Perancis menganjurkan perlawanan akhir 2016 di Camp Nou, Barcelona, manakala Ireland dan New Zealand bermain perlawanan antarabangsa di Chicago pada tahun sama dengan Ireland mencatat kemenangan pertama mereka ke atas All Blacks.
Minggu lalu, Argentina mengadakan perlawanan terakhir mereka dalam Rugby Championship menentang Afrika Selatan di Twickenham, London.
Dalam bola sepak, menganjurkan perlawanan di luar negara bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun sebelum ini ianya hanya melibatkan perlawanan persahabatan yang diberi ‘glamour’, bukan perlawanan liga rasmi.
Piala Super Sepanyol dan Itali juga dianjurkan di Arab Saudi, selepas edisi terdahulu diadakan di China, Maghribi, Qatar dan Libya, apabila badan bola sepak mula mengambil peluang untuk menjana keuntungan melalui jangkauan global sukan ini.
La Liga telah lama berusaha untuk menganjurkan perlawanan di Amerika Syarikat, yang juga negara asal rakan komersial mereka, Relevent Sports.
Badan induk bola sepak dunia, FIFA, yang dahulunya menentang keras pemindahan perlawanan seperti ini, mula melonggarkan pendirian mereka apabila menubuhkan satu “kumpulan kerja” pada Mei untuk menyemak semula peraturan mereka.
Langkah itu membuka jalan kepada UEFA untuk memberikan kebenaran kepada La Liga dan Serie A bagi mengembangkan pasaran mereka. – BH Online –
IMedikel TV






