Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong usaha rakyat Malaysia yang berterusan bersama Freedom Flotilla Coalition (FFC) dalam pelayaran membawa misi kemanusiaan ke Gaza.
KPT turut menzahirkan rasa syukur akan keselamatan 23 aktivis Malaysia yang menyertai Misi Sumud Flotilla ke Gaza baru-baru ini.
“KPT berdiri teguh memperjuangkan keadilan kemanusiaan sejagat serta menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat dan mereka yang tidak berdosa.
“Doa dan harapan tulus diiringkan agar perjuangan mereka dipermudahkan dan setiap langkah akan dilindungi daripada sebarang ancaman,” jelas KPT menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KPT menjelaskan penglibatan Profesor Dr. Afandi Salleh dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi wakil misi tersebut menjadi satu perkara yang patut dibanggakan.
“Penyertaan beliau mencerminkan semangat solidariti tinggi dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara termasuk para pensyarah, pelajar, dan seluruh komuniti Institut Pengajian Tinggi terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat.
“Sebagai institusi yang mendukung pembangunan insan dan ilmu, KPT terus memupuk nilai kepriharinan, empati dan tanggungjawab global dalam kalangan warga kampus,” ujar kenyataan itu.
Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kesemua sukarelawan negara dibebaskan dan dibawa pulang ke tanah air mencerminkan kepimpinan yang perlu dihormati di peringkat global.
IMedikel TV






