Home Buletin Semasa KPDN JAMIN BEKALAN BARANG KEPERLUAN CUKUP DI SABAH

KPDN JAMIN BEKALAN BARANG KEPERLUAN CUKUP DI SABAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BELUD: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan asas di seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman dan pulau-pulau, terus mencukupi dan terkawal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, berkata jaminan itu dizahirkan susulan pemeriksaan yang dilaksanakan hari ini di Point of Sales (POS) bagi Program Pengedaran Barang Perlu di Pulau Mantanani, Kota Belud.

“Pemeriksaan ini bertujuan menilai pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI95, selain memastikan bekalan serta harga barang keperluan utama seperti minyak petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG), gula pasir dan tepung gandum kekal stabil.

“Hasil pemantauan mendapati harga jualan minyak petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter, sama seperti harga di pekan dan bandar di Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr. Fuziah menjelaskan, setakat ini KPDN tidak menetapkan sebarang kuota pembelian individu di POS bagi program tersebut, namun kuota berkelompok diberikan berdasarkan jumlah populasi di kawasan terbabit.

Langkah itu, katanya, membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat di pedalaman dan kepulauan turut menikmati manfaat subsidi bahan api yang disalurkan kerajaan.

KPDN turut memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di setiap POS sentiasa mencukupi, dan sebarang kenaikan harga tanpa kelulusan kerajaan tidak akan dibenarkan.

“Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip bahawa subsidi mesti dinikmati secara adil oleh semua rakyat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar, luar bandar atau pulau,” jelasnya.

Dr. Fuziah menegaskan, pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan harga kekal stabil serta bekalan mencukupi sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, selain menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan sebarang aduan mengenai penyelewengan harga atau gangguan bekalan melalui saluran rasmi di WhatsApp: 019-8488000, portal e-aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my, Talian Aduan: 1-800-886-800

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here