Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru menyertai Himpunan Malaysia Bersama Palestin sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang akan berlangsung pada esok (8 Oktober) di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Majlis berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dijadual bermula pada jam 6.00 petang.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), himpunan ini adalah platform bagi menyatukan hati dan suara rakyat Malaysia demi kebenaran dan keadilan buat Palestin.
“Ayuh rakyat Malaysia, kita zahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Satukan hati dan suara demi kebenaran serta keadilan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Orang ramai juga berpeluang mendengar perkongsian secara langsung daripada Sukarelawan Global Sumud Flotilla, yang akan berkongsi pengalaman mereka.
Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke lokasi, siaran langsung akan disiarkan menerusi RTM dan platform media sosial rasmi bagi membolehkan seluruh rakyat mengikuti acara penuh bermakna itu.
Himpunan ini dijangka menjadi simbol perpaduan nasional dalam menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kemanusiaan dan kezaliman di Palestin, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
IMedikel TV






