Home Sukan TZE YONG MARA KE SUKU AKHIR

TZE YONG MARA KE SUKU AKHIR

194
0

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mempamerkan aksi mengagumkan apabila menundukkan lawan dari Jepun, Kanta Tsuneyama untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Hong Kong.

Dalam aksi di pusingan kedua di Hong Kong Coliseum itu, Tze Yong hanya memerlukan masa 41 minit untuk menjinakkan Tsuneyama 21-12, 21-11.

Tze Yong mula menguasai perlawanan selepas terikat di kedudukan tiga sama di set pertama.

Pemain berusia 23 tahun yang pernah mengejutkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dan HS Prannoy (India) tahun ini, dijangka berdepan sama ada Magnus Johannesen dari Denmark atau Wang Tzu Wei di suku akhir, esok.

Semalam, Tze Yong meneruskan kejutan tahun ini apabila menumbangkan pilihan kelima dan bekas pemain nombor dua dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen pada pusingan pertama.

Turut mengiringi Tze Yong ke suku akhir beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Bekas juara Terbuka Jerman itu melakar kemenangan ke atas pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-13, 21-15.

Menanti Sze Fei-Izzuddin di suku akhir adalah satu lagi beregu Taiwan, Lee Yang- Wang Chi-Lin yang menewaskan lawan dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol, 21-17, 21-9.

Turut mara ke suku akhir adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Pearly-Thinaah menundukkan rakan sepasukan Anna Ching-Teoh Mei Xing, 21-17, 21-10 manakala Jin Wei meraih kemenangan percuma selepas bekas pemain nombor satu dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon menarik diri.

Pearly-Thinaah selepas ini akan membuat perhitungan dengan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di suku akhir dan Jin Wei akan bertemu pilihan keenam dari China, Han Yue. – Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here