Home Buletin Semasa TULAR MILIKI DUA PASPORT, JIM TAHAN LELAKI BANGLADESH

TULAR MILIKI DUA PASPORT, JIM TAHAN LELAKI BANGLADESH

20
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memegang dua pasport, dipercayai membabitkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pasport Bangladesh.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM Negeri Pahang bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengesan individu berkenaan dan menyiasat kesahihan dakwaan yang tular.

Menurut beliau, hasil risikan dan operasi yang dijalankan, sepasukan enam pegawai imigresen menyerbu sebuah kontena di kawasan Jalan Kuantan–Bandar Damansara pada jam 6.30 petang, semalam.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki warganegara Bangladesh berada di dalam kontena tersebut.

“Pemeriksaan dan penggeledahan lanjut menemui dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022, selain sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lelaki berkenaan kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan untuk membantu siasatan.

JIM kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua pasport Malaysia dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut, selain menyiasat kemungkinan wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut Zakaria, JIM memandang serius setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here