Home Buletin Semasa BURUH DIPENJARA EMPAT TAHUN SELEPAS MENGAKU BERSALAH CULIK LELAKI DAN CURI KERETA

BURUH DIPENJARA EMPAT TAHUN SELEPAS MENGAKU BERSALAH CULIK LELAKI DAN CURI KERETA

32
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta di Tendong, bulan lalu.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Mohd Shahrul Nizam Mohd Asri, 35, dengan niat mengurung mangsa secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Tendong pada kira-kira jam 3.30 petang, 6 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Jun serta denda RM3,000.

Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara selama tiga bulan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Syamsul Azroy bersama tiga individu yang masih bebas didakwa mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen milik Mohd Taufik Mohd Asri, 25, di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3,000, atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa diculik selepas didatangi empat individu termasuk tertuduh yang dipercayai mencari adik mangsa iaitu Mohd Taufik, kerana didakwa gagal melunaskan hutang.

Mangsa kemudian dibawa ke kawasan sempadan melalui laluan haram sebelum diselamatkan polis Thailand pada keesokan harinya.

Dalam kejadian sama, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here