Oleh: Wartawan IMedikel TV
ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bakal menggantikan Majlis TVET Negara dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini sebelum rang undang-undang berkaitan dibentangkan di Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum kertas cadangan dibawa ke kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Menurut beliau, meskipun kerajaan telah memberikan kelulusan dasar bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan, beberapa aspek perundangan masih perlu diselesaikan sebelum ia dapat direalisasikan.
“Sesi libat urus untuk pembentukan Suruhanjaya TVET bagi menggantikan Majlis TVET Negara sedang dijalankan. Apabila sesi itu selesai, kita akan mengemukakan kertas kabinet bagi mendapatkan kelulusan.
“Saya menjangkakan pada penghujung tahun ini kita akan membentangkannya dalam sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Kebanyakan negara maju mempunyai Suruhanjaya TVET. Suruhanjaya ini bukan hanya soal dasar tetap pelaksanaan dan penguatkuasaan kepada dasar-dasar yang ditunjukkan dalam mana-mana suruhanjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jelajah TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor Darul Ta’zim 2026 di EduCity Sports Complex, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Jelajah TVET MARA kini memasuki siri ke-36 dan akan diteruskan ke 191 lokasi di seluruh negara bagi memperluaskan promosi pendidikan TVET kepada masyarakat.
“MARA kini memiliki 270 institusi TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang menawarkan pelbagai program diploma dan ijazah dalam bidang teknikal.
“Usaha memperkasa pendidikan TVET kekal menjadi agenda utama kerajaan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir selaras dengan perkembangan industri dan teknologi,”katanya.
Malah, katanya, kadar kebolehpasaran graduan institusi TVET MARA kini mencapai 99.5 peratus, manakala kerajaan menyasarkan kadar itu meningkat kepada 100 peratus menerusi penawaran program TVET berimpak tinggi yang memenuhi keperluan industri.
Sementara itu, dalam perkembangan politik beliau berharap golongan pengundi muda, khususnya pengundi berusia 18 tahun, terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau berkata, sokongan itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.
“Kira-kira 52 peratus pengundi di Johor terdiri daripada mereka yang berusia bawah 40 tahun termasuk pengundi 18 tahun.
“Saya berharap mereka terus bersama Onn Hafiz untuk membangunkan Johor.
“Kita yakin golongan muda sangat dekat dengan beliau dan kita mahu beliau terus diberi peluang menerajui negeri ini demi kesinambungan pembangunan,” katanya.
IMedikel TV






