Home Buletin Semasa SURAU JUMAAT TARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG – DR ZULKIFLI

SURAU JUMAAT TARIK LEBIH RAMAI PENGUNJUNG – DR ZULKIFLI

25
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kewujudan surau yang mengadakan solat Jumaat di pusat beli-belah bukan sahaja memudahkan umat Islam menunaikan ibadah, malah turut memberi impak positif kepada sektor perniagaan apabila semakin ramai pengunjung hadir ke premis berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan surau Jumaat di pusat beli-belah yang diterajui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Inisiatif itu kini telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk IOI City Mall, Alamanda dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selain mendapat perhatian daripada pengurusan pusat beli-belah lain yang mahu melaksanakannya.

“Yang menariknya, apabila sesebuah pusat beli-belah mempunyai surau Jumaat, ia menjadi semakin laris dan menerima lebih ramai pengunjung.

“Malah sekarang ini banyak pengurusan pusat beli-belah menghubungi kami untuk melihat potensi mewujudkan surau Jumaat di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Multaqa Madani Ulama’ dan Umara’ (MMUU) Peringkat Zon Utara di Masjid Timah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli berkata, kerajaan menggalakkan pihak berkuasa negeri mengambil inisiatif mewujudkan surau Jumaat di pusat beli-belah sebagai usaha memperluaskan kemudahan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Katanya, beberapa negeri telah menyatakan minat terhadap inisiatif itu, namun ia masih di peringkat perbincangan.

“Memang ada permintaan daripada beberapa negeri, terutama negeri yang mempunyai bandar-bandar besar dan bangunan bertingkat.

“Bagaimanapun, kita belum boleh berkongsi butirannya kerana ia masih di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Malaysia mempunyai lebih 6,784 masjid berdaftar, lebih 1,000 surau Jumaat dan lebih 18,000 surau di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai Program Multaqa Madani Ulama’ dan Umara’, Dr. Zulkifli berkata, program berkenaan menjadi platform menghimpunkan para asatizah dan masyarakat bagi membincangkan pelbagai isu semasa serta memperkukuh pendekatan dalam menangani cabaran yang dihadapi umat Islam.

Menurutnya, program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bersama 14 agensi agama bagi memperkukuh kesepaduan ummah serta menyebarkan mesej Islam yang rahmah.

“Ia akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha memperkasakan kefahaman Islam, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang mengamalkan syiar Islam secara harmoni, inklusif dan progresif di peringkat antarabangsa,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here