Oleh: Wartawan IMedikel TV
PULAU PINANG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkemaskan garis panduan pengurusan jenazah sebagai rujukan pihak berkuasa agama negeri bagi mengelakkan isu kelewatan pengebumian seperti yang tular di Selangor daripada berulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan mengambil kira keperluan serta enakmen dan undang-undang yang diperlukan.
Menurut beliau, beberapa negeri sudah mempunyai garis panduan berkaitan dan JAKIM hanya perlu menyelaras serta memperkemaskannya sebelum dijadikan rujukan bersama di seluruh negara.
“Saya fikir ia tidak mengambil masa terlalu lama kerana ada negeri yang sudah mempunyai garis panduan. Cuma kita mahu memperkemaskan perkara itu sebelum dijadikan rujukan untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kelewatan pengebumian jenazah seorang kanak-kanak perempuan di Selangor yang tular baru-baru ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Multaqa Madani Ulama’ dan Umara’ (MMUU) Peringkat Zon Utara di Masjid Timah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli berkata, isu berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama negeri, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), untuk ditangani dengan sewajarnya.
“Kita serahkan perkara ini kepada JAIS dan MAIS. Mereka mempunyai kebijaksanaan untuk menangani isu ini dengan tuntas dan sebaik-baiknya.
“InsyaAllah, doakan supaya kita dapat melaksanakan yang terbaik. Marilah kita sama-sama membuka minda dan berjiwa besar dalam menangani sesuatu isu, bukannya memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan jenazah seorang kanak-kanak perempuan didakwa tertangguh untuk dikebumikan selama kira-kira sejam selepas pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang didakwa meminta bayaran sebanyak RM1,400 bagi urusan pengurusan jenazah.
Situasi itu dikatakan berpunca apabila permit pengebumian yang telah diterima keluarga mangsa ditahan selepas mereka menolak untuk membayar wang itu sebagai upah menguruskan.
Bagaimanapun, JAIS kemudian menjelaskan kelewatan itu berlaku kerana waris membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa mengemukakan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian yang diperlukan, menyebabkan urusan pengebumian terpaksa ditangguhkan.
IMedikel TV






