Home Buletin Semasa DUA WANITA WARGA INDONESIA MAUT, KERETA TERBABAS REMPUH PAGAR SEKOLAH

DUA WANITA WARGA INDONESIA MAUT, KERETA TERBABAS REMPUH PAGAR SEKOLAH

41
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Dua wanita warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pagar sebuah sekolah di Kilometer 3, Jalan Selising–Kok Lanas, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Bilik Gerakan pada kira-kira jam 7.20 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi ketika sebuah kereta dipandu wanita warga Indonesia berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Tok Bok, Machang menghala ke Kota Bharu.

“Kenderaan itu turut dinaiki lima penumpang yang kesemuanya warga Indonesia, terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 33 hingga 67 tahun.

“Apabila tiba di lokasi kejadian di persimpangan tiga berhampiran SK Bukit Jawa 2, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan merempuh pagar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua penumpang wanita yang duduk di bahagian belakang kiri dan kanan masing-masing berusia 45 dan 67 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Empat lagi mangsa yang cedera, termasuk pemandu, telah dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan,”katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-938 6224 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here