Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Impian seorang pelajar cemerlang untuk bergelar doktor bukan sekadar cita-cita biasa, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi yang memberi kesan mendalam apabila bapanya disahkan menghidap penyakit jantung ketika beliau di darjah satu.
Pelajar berkenaan, Mohamad Solihin Mohd Nasir, 19, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli, berkata pengalaman itu menjadi titik tolak kepada tekadnya untuk mendalami bidang perubatan sejak kecil.
Mohamad Solihin ditawarkan ke Universiti Al-Azhar dalam bidang perubatan bagaimanapun hampir menolak tawaran itu disebabkan kekangan kewangan.
Namun, semangat itu kembali bersinar selepas mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Melalui panggilan video bersama Mohamad Solihin di kediamannya di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh, beliau tampil menghulurkan bantuan.
“Ada dua pilihan sama ada memilih ke Universiti Al-Azhar atau tajaan untuk mengikuti bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian.
“Sekiranya memilih Al-Azhar perlu mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu sebagai persediaan sebelum memenuhi syarat kemasukan tetapi kena mengambil masa sedikit,”katanya menerusi panggilan video hari ini.
Dalam pada itu beliau menegaskan MARA sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah serta anak yatim.
Bagaimanapun ketika panggilan itu Mohamad Solihin tetap memilih untuk menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar.
“Saya memang tekad untuk belajar di sana sebab cita-cita saya dari kecil untuk bergelar doktor kardioterasik dan belajar di Mesir,”katanya.
Tersentuh dengan kesungguhan tersebut, Dr. Asyraf Wajdi turut memuji semangat pelajar berkenaan sebelum meminta beliau menebuk bacaan ayat al-Quran.
Beliau kemudian menjemput Mohamad Solihin untuk hadir ke Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur selepas urusan kemasukan selesai bagi membincangkan langkah seterusnya, selain berjanji akan membantu merealisasikan impian pelajar itu bergelar doktor di Universiti Al-Azhar.
Sebelum menamatkan perbualan, beliau turut menitipkan nasihat agar pelajar itu terus istiqamah dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui solat tahajud, zikir al-Mathurat serta mengulang hafazan al-Quran sebagai bekalan sepanjang menuntut ilmu.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi membantu kos pengajian pelajar berkenaan boleh berbuat demikian terus ke akaun Mohamad Solihin bin Mohd Nasir, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) No. akaun: 03120027878649
IMedikel TV






