JAKARTA: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian empat sekeluarga yang ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti glamping di kawasan pelancongan Posong, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah, Rabu lalu, berpunca akibat keracunan gas karbon dioksida atau asap.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Ketua Siasatan Jenayah Polis Temanggung, Komang Mahendra Deputra berkata, siasatan awal mendapati terdapat dapur gas mudah alih yang digunakan mangsa untuk memasak selain aktiviti barbeku yang dilakukan sebelum mereka tidur.
Menurutnya, keadaan khemah yang tertutup dipercayai menyebabkan pengudaraan tidak lancar sehingga gas terkumpul di dalam ruang berkenaan.
“Lokasi barbeku memang sedikit di luar khemah, namun berkemungkinan asap atau gas masuk ke dalam. Jadi terdapat dua kemungkinan,” katanya.
Sebelum ini, polis mengesyaki mangsa maut akibat keracunan makanan, namun andaian itu ditolak selepas tiada kesan muntah atau sisa makanan ditemukan pada tubuh mangsa.
Katanya, keadaan fizikal mangsa lebih menyerupai simptom keracunan gas karbon dioksida kerana tiada tanda pergelutan, manakala mangsa dipercayai menjadi lemah, mengantuk dan tidak sedarkan diri.
Kesemua mangsa iaitu bapa, Muhamad Ali Munawar, 52; isterinya, Maghfirah, 43, serta dua anak mereka, Bagas Amar Hakiki, 21, dan Alvino Evan Hakim, 16, ditemukan terbaring di atas tilam tanpa sebarang tanda kecederaan luaran.
Kejadian itu disedari selepas petugas tapak glamping membuka khemah itu kira-kira 3.30 petang Rabu. Ia selepas pihak pengurusan gagal menghubungi mereka sejak keluarga itu mendaftar masuk pada Selasa, walaupun tempoh sewaan sudah tamat.
Ketibaan empat jenazah di rumah keluarga di Desa Kebumen, Kecamatan Banyubiru, Kabupaten Semarang disambut dengan tangisan ahli keluarga serta penduduk setempat sebelum disolatkan dan dikebumikan.
Seorang saudara mangsa, Muhamad Khoerudin, 50, berkata, keluarga menerima berita duka itu kira-kira 10 malam Rabu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak hospital serta polis untuk menentukan punca sebenar kematian.
Adik kepada Maghfirah, Ashadi, 51, pula dia tidak menyangka percutian keluarga itu berakhir dengan tragedi memandangkan kakaknya hanya memaklumkan mahu pergi bercuti tanpa menyatakan lokasi spesifik. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






