Home Sukan GALLIFUOCO MASIH TUNGGU BERITA GEMBIRA

GALLIFUOCO MASIH TUNGGU BERITA GEMBIRA

Kuala Lumpur: Ketika penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva sudah disahkan layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, namun lain pula situasi yang dialami Giancarlo Gallifuoco.

Memetik laporan Harian Metro, Tonggak pertahanan Kuala Lumpur (KL) City berusia 32 tahun itu masih menanti berita gembira mengenai prosesnya mendapat status pemain naturalisasi.

Pemain kelahiran Australia itu menjelaskan, setakat ini dia belum menerima apa-apa berita mengenai perkara berkenaan dan kekal berharap impiannya untuk mewakili Malaysia dapat tercapai pada satu hari nanti.

Berdasarkan rekod, dia sudah memenuhi syarat lima tahun beraksi di Malaysia untuk bergelar pemain naturalisasi selepas bersama pasukan KL City sejak Februari 2021.

“Tahniah kepada Bergson dan Brad Tapp, saya pasti ia adalah impian mereka, sama seperti impian saya. Namun, malangnya saya tidak tahu apa-apa lagi.

“Saya berharap saya boleh memaklumkan kepada anda berita baik dan saya boleh katakan ‘ya, saya pun (layak wakili Harimau Malaya)’. Saya masih menunggu berita baik, tetapi sehingga kini, belum ada apa-apa,” kata Gallifuoco.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin mengumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA sudah mengesahkan Bergson bersama Tapp yang juga pemain JDT layak untuk mewakili Harimau Malaya.

Status dua lagi pemain naturalisasi dari JDT iaitu Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan oleh FIFA dan FAM masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Selain itu, Gallifuoco menjelaskan bahawa dia sudah lama mengimpikan untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan sebenarnya berharap dapat beraksi menentang Vietnam pada Mac lalu.

“Sebenarnya, impian saya untuk bermain menentang Vietnam pada Mac. Namun, malangnya saya juga terpaksa membatalkan tiket yang saya sudah beli untuk ibu dan ayah saya. Bagi September (Piala ASEAN FIFA) juga saya rasa tidak akan dapat beraksi,” katanya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here