Johannesburg: Nasib seorang suspek pemburu haram berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan, lapor Independent Online (IOL).
Memetik laporan Harian Metro, Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) JP Louw berkata, lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan semak pada hujung minggu lalu, kira-kira enam kilometer dari kawasan pintu masuk taman negara itu.
Katanya, penemuan itu dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit menceroboh masuk ke Kruger secara haram melalui kawasan Pafuri di bahagian utara taman berkenaan pada Jumaat.
Mereka kemudian berjalan masuk ke kawasan sekumpulan gajah berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah berbeza dan terpisah.
Lelaki yang terselamat berjaya keluar dari taman berkenaan dan pulang ke rumah sebelum memaklumkan rakan subahatnya hilang serta dia ada terdengar jeritan mangsa.
Louw berkata, perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis sebelum lelaki terbabit ditahan dengan bantuan masyarakat tempatan.
Katanya, suspek mengaku menceroboh taman itu secara haram dan membawa renjer dari pos renjer Pafuri kembali ke lokasi mereka terpisah.
“Renjer mengikut jejak dari Sungai Luvuvhu sejauh kira-kira enam kilometer ke dalam taman,” katanya.
Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemukan terbaring di penghujung laluan itu.
Louw berkata, renjer turut menemukan rangka seekor seladang ketika pencarian yang dipercayai SANParks dibunuh oleh kedua-dua lelaki terbabit.
Katanya, polis akan meneruskan siasatan termasuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.-AGENSI, HMetro Online-
IMedikel TV






