Sydney: Seorang remaja lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh selepas polis mendakwa dia mengendalikan dron sebagai sebahagian daripada cubaan pembunuhan berkaitan kumpulan jenayah terancang yang tersasar di barat bandar raya ini, lapor The Guardian.
Memetik laporan Harian Metro, Mangsa, Joshua Macdonald, 40, ditembak mati di sebuah rumah di Merrylands West pada 2 September lalu dalam kejadian yang dipercayai polis sebagai tembakan tersalah sasaran.
Macdonald tidak dikenali polis dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan jenayah terancang.
Pembunuhan itu berlaku sehari selepas kes tembakan tersalah sasaran berasingan di bandar raya ini yang mengorbankan penuntut universiti, Marco Talia, 23, di rumahnya di Glen Alpine.
Polis New South Wales (NSW) pada Jumaat menahan dua lelaki masing-masing berusia 18 dan 19 tahun.
Polis mendakwa remaja yang lebih muda terbabit dalam pembunuhan Macdonald.
“Sebuah dron disita dan diperiksa secara forensik oleh detektif yang mengemukakan bukti menunjukkan pembabitan dalam kejadian tembakan maut di Merrylands,” menurut polis dalam kenyataan pada Sabtu.
Remaja berusia 18 tahun itu didakwa atas pertuduhan membunuh, menyertai kumpulan jenayah dan menyumbang kepada aktiviti jenayah serta dihadapkan ke mahkamah jaminan pada Sabtu.
Sementara itu, remaja berusia 19 tahun didakwa atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah, menyumbang kepada aktiviti jenayah dan memandu ketika lesen digantung sebelum dia dibenarkan diikat jamin di Mahkamah Tempatan Liverpool pada Jumaat dan dijadualkan kembali ke mahkamah pada 24 September depan.
Polis NSW berkata, remaja berusia 18 tahun itu sedang mengendalikan dron ketika ditahan pada pagi Jumaat, di mana Superintendan Detektif Joe Doueihi memberitahu pemberita bahawa tindakan itu amat membimbangkan kerana suspek kemungkinan melakukan pengawasan terhadap seseorang atau sesebuah premis.
Doueihi mendakwa remaja itu berada beberapa blok dari rumah tempat Macdonald dibunuh pada 2 September dan menggunakan dron untuk mengintip kawasan berkenaan sebelum menyalurkan maklumat kepada penembak.
Katanya, remaja terbabit dipercayai salah seorang daripada beberapa individu yang diupah kumpulan jenayah terancang untuk melaksanakan bahagian tertentu dalam serangan berkenaan.
Kes tembakan terhadap Macdonald sekurang-kurangnya menjadi kes kelima di NSW yang disyaki berpunca daripada pembunuhan tersalah sasaran sejak Mei 2025.
Kebimbangan turut meningkat terhadap pemimpin jenayah luar negara yang didakwa mengarahkan serangan secara melulu, manakala Pemangku Premier NSW Prue Car dan Menteri Polis Yasmin Catley menegaskan pihak polis sedang berusaha sepenuhnya untuk menangani model jenayah baharu yang menggunakan khidmat remaja.-AGENSI, HMetro Online-
IMedikel TV






