Home Buletin Semasa BELIA KELANTAN DESAK TINDAKAN TUNTAS ISU EKONOMI, PELUANG PEKERJAAN

BELIA KELANTAN DESAK TINDAKAN TUNTAS ISU EKONOMI, PELUANG PEKERJAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Isu ekonomi, peluang pekerjaan dan pendidikan menjadi antara cabaran utama belia Kelantan yang perlu ditangani segera bagi mengelakkan golongan itu terus berdepan masalah sosial.

Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK), Khairul Azhar Kamaruzaman berkata, kekurangan peluang pekerjaan serta ekosistem pembangunan yang tidak lengkap boleh memberi kesan jangka panjang terhadap golongan belia dan masyarakat di negeri ini.

Menurutnya, isu berkenaan antara perkara yang dibangkitkan menerusi enam usul pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Kelantan Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026.

“Kalau melihat kepada belia di Kelantan, sudah pasti bagaimana lepasan SPM dan lepasan pelajar tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya, iaitu dari segi peluang ekonomi, peluang pendidikan dan paling penting ekosistem yang tidak lengkap.

“Apabila ekonomi tidak mampan, mereka mudah terjebak dengan masalah sosial, termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya ketika sidang media selepas persidangan MPBN di sini, hari ini.

Khairul Azhar berkata, MGBK berharap setiap usul yang dibangkitkan tidak sekadar menjadi perbincangan tahunan, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian yang berkesan.

Katanya, isu sama yang terus berulang setiap tahun perlu ditangani secara lebih pragmatik dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa supaya pembangunan infrastruktur dan projek sedia ada di Kelantan dipercepatkan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada belia.

Beliau berkata, kemudahan seperti infrastruktur Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan lapangan terbang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri dapat bergerak seiring dengan negeri-negeri lain.

“Kita masuk ke fasa kedua, iaitu bagaimana kita membangunkan semula ekonomi melibatkan ekosistem yang sedia ada.

“Dengan fasiliti yang ada, kita mahu mengoptimumkannya sebaik mungkin untuk memastikan yang dikejar dapat, yang dikendong tidak keciciran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, semua enam usul yang dibentangkan akan diberi perhatian di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata, persidangan itu turut memperlihatkan kualiti perbahasan yang baik dalam kalangan pimpinan belia, sekali gus membuktikan Kelantan tidak ketandusan barisan pelapis yang berpotensi membawa perubahan pada masa akan datang.

“Secara umumnya, banyak isu yang dibangkitkan sangat menarik dan relevan dengan apa yang berlaku di peringkat negeri.

“Kita mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dan bersedia mengadakan kerjasama bagi menjayakan usul-usul berkenaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here