Home Buletin Semasa KES DENGGI MENINGKAT 145.4 PERATUS PADA ME 36

KES DENGGI MENINGKAT 145.4 PERATUS PADA ME 36

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Kumulatif kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 36/2026 di negeri ini mencatatkan peningkatan 145.4 peratus kes, iaitu 10,965 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu 4,468 kes.

Pengerusi jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 5,052 kes (46.1 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 5,913 kes (53.9 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

Katanya pada ME 36/2026, sebanyak 459 kes demam denggi telah dilaporkan.

“Bilangan kes ini menunjukkan penurunan sebanyak 16.9 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu ME 35/2026 (552 kes).

“Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang ME 36/2026, sebanyak 215 kes (46.8 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 244 kes (53.2 peratus) dari lokaliti bukan wabak,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, pada ME 36/2026, daerah Johor Bahru melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 345 kes (75.2 peratus) dari jumlah keseluruhan kes dan diikuti daerah Kulai (72 kes, 15.7 peratus), Kluang (10 kes, 2.2 peratus), Batu Pahat (9 kes, 2.0 peratus), Kota Tinggi (6 kes, 1.3 peratus).

Katanya Mersing pula mencatat (5 kes, 1.1 peratus), diikuti Pontian dan segamat masing-masing (4 kes, 0.9 peratus) serta Segamat, Tangkak dan Muar masing-masing juga(2 kes, 0.4 peratus).

“Pada ME 36/2026, 50 lokaliti wabak baru dilaporkan di Negeri Johor dimana di daerah Johor Bahru (37 lokasi), Kulai (11), Kota Tinggi dan Kluang masing-masing satu lokaliti.

“Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Negeri Johor pada tahun 2026 sehingga ME 36/2026 adalah 1,200 berbanding 471 dalam tempoh yang sama pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 154.8 peratus.

“Bagaimanapun tiada sebarang kes kematian dilaporkan pada ME 36/2026 bagi seluruh negeri Johor.

“Kumulatif kes kematian denggi sehingga ME 36/2026 adalah 13 kes berbanding 8 kes kematian pada tahun 2025 pada tempoh yang sama iaitu peningkatan sebanyak 62.5 peratus,”katanya.

Beliau berkata aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) terus dijalankan oleh anggota kesihatan di dalam dan luar rumah.

Katanya aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun 2026 telah pun mengeluarkan sebanyak 4,115 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM 2 juta ditawarkan.

“Daripada jumlah tersebut 77.2 peratus telah membayar kompaun.

“Masyarakat perlu membersihkan rumah sendiri dengan melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja. Ini adalah bagi memastikan tiada tempat atau bekas menakung air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Masyarakat juga boleh menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk, selain dari memakai seluar panjang atau baju berlengan panjang bagi mengelakkan diri dari gigitan nyamuk.

“Pihak sekolah perlu menjalankan aktiviti gotong royong secara berkala dengan memastikan tiada tempat pembiakan jentik-jentik atau air bertakung yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk di persekitaran sekolah,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here