Home Buletin Semasa KETERBATASAN PENGLIHATAN BUKAN HALANGAN, QAYYIM GIGIH GENGGAM SKROL SARJANA MUDA

KETERBATASAN PENGLIHATAN BUKAN HALANGAN, QAYYIM GIGIH GENGGAM SKROL SARJANA MUDA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Keterbatasan penglihatan bukan penghalang buat Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 28, untuk mencapai kejayaan akademik apabila berjaya menamatkan pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Anak sulung daripada enam beradik itu antara 280 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen KIAS kali ke-26 di Dewan Johor, KIAS, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, graduan orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan dari Kadok, itu pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023.

Muhammad Qayyim Nizar adalah graduan Program Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dengan Pengurusan kini meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Dirasat Islamiyah di KIAS.

Mengulas kejayaannya, Muhammad Qayyim Nizar berkata, beliau amat bersyukur dan teruja kerana berjaya mencapai impian yang selama ini diidamkan.

“Saya sangat gembira dan teruja serta amat bersyukur di atas kejayaan yang diimpikan selama ini,” katanya.

Menurutnya, kejayaan berkenaan turut didorong semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh meskipun berdepan keterbatasan fizikal.

Beliau disifatkan sebagai seorang yang sangat gigih dan sentiasa berusaha lebih berbanding pelajar lain, sekali gus memperlihatkan ketinggian semangatnya untuk menuntut ilmu.

Dalam pada itu, ibu bapanya, Sarimi Yusoff dan Rozan Mohamed, melahirkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian anak mereka.

“Kami amat bangga dan bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi,” kata mereka.

Muhammad Qayyim Nizar turut mengakui sokongan KIAS banyak membantu sepanjang tempoh pengajiannya sehingga berjaya menamatkan pengajian.

Menurutnya, bantuan dan sokongan institusi berkenaan menjadi antara faktor penting yang membolehkannya meneruskan pengajian dengan baik.

Kejayaan Muhammad Qayyim Nizar mencerminkan bahawa peluang pendidikan tinggi yang inklusif mampu membuka ruang kepada golongan OKU untuk mencapai kecemerlangan serta merealisasikan impian masing-masing.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here