Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Sebanyak 142 bilik darjah termasuk bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah seluruh Pulau Pinang sudah dinaik taraf menerusi inisiatif Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, interaktif serta berteraskan teknologi digital.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad, berkata inisiatif itu dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang dan Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang dalam usaha memperkasa transformasi pendidikan di negeri ini.
Katanya, setakat ini tiga bilik darjah PPKI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, SMK Westlands dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah sudah dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memberi pendedahan kepada murid terhadap dunia digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI).
“JPNPP sangat menghargai usaha Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang yang menyediakan kemudahan ICT di tiga bilik darjah PPKI.
“Ini sebahagian daripada usaha memberi ruang kepada anak-anak kita supaya terdedah kepada dunia digital, ICT dan AI yang apabila mereka tamat persekolahan nanti, mereka dapat memanfaatkan kemudahan ini dalam kerjaya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Rintis Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) bagi murid berkeperluan pendidikan khas di SMK Batu Kawan yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Mohamad Dziauddin berkata, JPNPP akan terus memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan menaik taraf lebih banyak bilik darjah termasuk bagi program PPKI menerusi kerjasama berterusan bersama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik bagi memastikan murid berkeperluan khas menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
Jelasnya, penubuhan bilik darjah PAK21 itu turut menggabungkan konsep TEACCH (Treatment and Education of Autistic and Communication Handicapped Children), iaitu pendekatan pendidikan yang memberi tumpuan kepada struktur pembelajaran yang lebih sistematik dan mesra murid berkeperluan khas.
Katanya, konsep itu merangkumi tiga komponen utama iaitu struktur fizikal yang jelas dan tersusun, sistem kerja yang membolehkan murid memahami jangkaan tugasan dengan lebih baik serta struktur visual yang membantu mereka menyesuaikan diri dengan rutin pembelajaran harian secara lebih berkesan.
Mengulas mengenai pelaksanaan PAK21 di kelas arus perdana pula, beliau berkata kerajaan menyediakan lima set kelas hibrid selain memperluaskan penggunaan bilik darjah PAK21 menerusi penyediaan capaian internet berkelajuan tinggi dan papan pintar (smart board) di sekolah.
Ujarnya lagi, semua 398 sekolah di Pulau Pinang kini mempunyai kemudahan papan pintar serta capaian gentian optik (fiber), sekali gus membolehkan penggunaan teknologi digital dimanfaatkan secara lebih meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata kerajaan negeri sentiasa komited mendokong matlamat pendidikan yang inklusif, saksama dan berkualiti bagi memastikan setiap anak tanpa mengira latar belakang atau keupayaan memperoleh peluang pendidikan yang terbaik.
Beliau berkata, kewujudan bilik darjah PAK21 bukan sekadar penambahbaikan fizikal bilik darjah, sebaliknya menjadi anjakan penting dalam pendekatan pendidikan bagi memastikan murid PPKI turut menikmati akses kepada pendidikan berkualiti, inklusif dan bersesuaian dengan tuntutan semasa selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang digagaskan.
IMedikel TV






