Home Buletin Semasa MoF BERI AMARAN KERAS SALAH GUNA MYKAD TUNTUT SUBSIDI BUDI95

MoF BERI AMARAN KERAS SALAH GUNA MYKAD TUNTUT SUBSIDI BUDI95

31
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memandang serius dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi tujuan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan subsidi tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, MoF menegaskan bahawa penggunaan atau pemilikan MyKad milik individu lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Tiada pihak dibenarkan menggunakan nombor atau maklumat MyKad milik individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MoF mengarahkan syarikat peruncit minyak supaya memperketatkan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.

Kementerian itu menegaskan bahawa sebarang transaksi yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana boleh membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program.

Dalam masa sama, syarikat peruncit minyak turut diarahkan menjalankan siasatan terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap stesen minyak yang terlibat.

MoF berkata, syarikat berkenaan juga perlu memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak di seluruh negara.

“Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan. 

“Syarikat-syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,”jelas kenyataan itu.

MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar.

Penerima BUDI95 digalakkan untuk menyemak ekod transaksi di portal https://www.budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here