Antonio Conte berkata Tottenham memerlukan masa untuk menjadi kuasa Eropah selepas tersingkir di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan AC Milan.
Tottenham tewas 1-0 secara agregat di tangan kelab Serie A itu selepas terikat tanpa jaringan pada aksi timbal balik di Stadium Tottenham Hotspur, London.
Penyingkiran itu hadir selepas mereka turut tercicir daripada saingan Piala FA, sekali gus menyaksikan penantian 15 tahun Spurs untuk trofi pertama akan berterusan sekurang-kurangnya semusim lagi.
Kepulangan Conte bersama pasukan juga gagal mencetus kebangkitan Tottenham yang tumpul di bahagian sepanjang aksi kalah mati itu dan terpaksa bermain dengan 10 orang pada baki 12 minit selepas Cristian Romero dilayangkan kad kuning kedua.

“Saya meminta maaf kepada peminat, tetapi kami tidak mampu mencipta kemenangan atau berharap kepada keajaiban yang pada satu hari trofi akan datang sendiri.
“Kami perlu membina pasukan dengan sabar. Saya faham peminat sudah tidak sabar kerana bagitu lama Tottenham tidak menang,” kata Conte.
Kemenangan pada peringkat kalah mati itu membawa Milan ke suku akhir buat pertama kali sejak tahun 2012.
“Kami berhak dengan keputusan ini, walaupun sepatutnya kami boleh menjaringkan gol lagi. Kami menunjukkan kualiti, semangat, dan kami sepatutnya mampu menang juga malam ini,” kata penyerang Milan, Olivier Giroud.
Sepak mula tertangguh 10 minit selepas kedua-dua pasukan tiba lewat akibat kesesakan lalu lintas.
Tottenham kini hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan di tangan pasukan divisyen dua, Sheffield United dalam saingan Piala FA. – AFP
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






