Home Buletin Semasa MALAYSIA PERLU 540,363 PEKERJA ASING DI 6 SEKTOR PEKERJAAN

MALAYSIA PERLU 540,363 PEKERJA ASING DI 6 SEKTOR PEKERJAAN

259
0

Setakat ini Malaysia memerlukan tambahan tenaga kerja asing seramai 540,363 orang atau 27 peratus daripada keperluan pekerja asing negara bagi mengisi enam sektor pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata jumlah itu berdasarkan pengurangan stok pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan antara 2019 hingga 2022.

Menurut beliau, pengurangan berlaku dalam sektor perkilangan yang memerlukan tambahan seramai 158,976 pekerja, manakala bagi pembinaan (125,032), sektor perladangan (91,701), sector perkhidmatan (93,289), sektor pertanian (34,393) dan pembantu rumah asing (37,040), manakala satu lagi sektor iaitu perlombongan dan pengkuarian mengalami lebihan tenaga kerja seramai 68 orang.

Katanya, menurut data daripadaJabatan Imigresen (Imigresen), jumlah pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan pada 2019, iaitu sebelum tercetusnya wabak COVID-19 ialah sebanyak 1,999,559 orang.

Menurutnya, pada 2020 pula, jumlah pekerja asing berkurangan kepada 1,483,380 orang dan stok pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan pada 2021 terus berkurangan kepada 1,171,909 orang.

“Walau bagaimana pun, pada 2022, jumlah pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan meningkat sedikit kepada seramai 1,459,196 orang.

“Berdasarkan data itu, kita boleh merumuskan bahawa pengurangan stok pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan antara 2019 hingga 2022 adalah sebanyak 27 peratus atau 540,363 orang.

“Maka kita juga boleh merumuskan bahawa jumlah pekerja asing yang diperlukan pada masa sekarang adalah seramai 540,363,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerja asing yang diperlukan dalam semua sektor di Malaysia serta pecahan dan apakah tindakan kerajaan dalam memastikan proses pengambilan pekerja asing lebih telus dan mematuhi ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata pengambilan pekerja asing untuk penggajian di Malaysia adalah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan negara sumber.

Beliau berkata sehingga kini, Malaysia mempunyai kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui MoU dengan 10 negara sumber.

“Semua MoU yang dimeterai dengan negara-negara sumber ini adalah mematuhi undang-undang dan dasar perburuhan negara dan bersandarkan standard perburuhan antarabangsa.

“Semua MoU menerapkan beberapa prinsip asas yang disarankan di bawah General Principles and Operational Guidelines for Fair Recruitment (GPOG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menggariskan keperluan pengrekrutan yang adil (fair recruitment) dan telus.

“Selain itu, MoU yang dilaksanakan mesti mengikut lunas undang-undang negara, standard perburuhan antarabangsa, menghormati hak asasi manusia, tanpa diskriminasi dan melindungi pekerja daripada kekerasan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan antara elemen-elemen progresif dan amalan baik yang diterapkan dalam MoU adalah seperti menghormati hak pekerja dan majikan, responsif kepada permintaan pasaran buruh dan mempromosi kerja yang layak (decent work), undang-undang dan dasar perburuhan terpakai untuk semua efisien, telus dan melindungi pekerja.

Elemen lain adalah penguatkuasaan undang-undang melalui pemeriksaan perburuhan kos perekrutan yang wajar dan ditanggung majikan  kontrak pekerjaan yang jelas dan telus, akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian dan remedy, larangan penahanan pasport dan dokumen diri, akses kepada maklumat yang komprehensif dan tepat; perlindungan social serta pemeriksaan kesihatan.

Sumber: BH Online

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here