Home Hiburan ‘TIKTOK TAK SERIUS TANGANI BULI SIBER’-FAHMI FADZIL

‘TIKTOK TAK SERIUS TANGANI BULI SIBER’-FAHMI FADZIL

246
0

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kecewa dengan platform media sosial seperti TikTok yang disifatkan tidak serius dalam menangani isu buli siber.

Memetik laporan menerusi harian metro,Ia susulan berita kematian seorang pempengaruh TikTok yang dipercayai membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber selama berbulan-bulan di platform itu.

Menurut Fahmi, satu mesyuarat khas bakal diadakan dengan TikTok bagi meneliti secara mendalam berdasarkan aduan-aduan yang diterima.

“Pagi tadi saya ada menerima mesej daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mengenai insiden ini dan sudah berbincang dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.  Beliau juga sudah bercakap dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kes ini.

“Jadi, kami sudah mencapai satu persefahaman kerana insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya sangat pilu menerima berita ini walaupun sudah berulang kali meningatkan orang ramai supaya berpada-pada meninggalkan komen di media sosial.

“Dalam masa sama, kita perlu melihat aspek pengurusan media sosial yang mana saya sudah bercakap dengan pihak TikTok mengenai rasa pilu dan marah kami kerana platform media sosial ini dilihat tidak serius dalam menangani isu buli siber.

“Insya-Allah dalam beberapa hari akan datang saya sudah mengatur satu mesyuarat membabitkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), TikTok, Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak lain untuk melihat secara terperinci berdasarkan aduan yang pernah diterima,” katanya.

Fahmi ditemui media pada majlis Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, satu perubahan yang sistematik perlu diusahakan bagi memastikan tiada insiden bunuh diri akibat buli siber pada masa mendatang.

“Saya sudah semak dengan MCMC yang mendiang tidak membuat aduan khusus berkenaan buli siber sebelum in, tapi mendiang pernah membuat aduan berhubung perkara lain.

“Satu perubahan perlu diusahakan kerana kita tak tahu berapa ramai yang menderita secara diam akibat buli siber. Justeru, komitmen kerajaan adalah memastikan mereka yg bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya juga ingin sekali lagi memberi peringatan jangan kerana kita boleh meninggalkan komen di media sosial, kita boleh letak komen yang jelik atau menyakitkan hati sehingga mereka terasa mahu membunuh diri,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi meluahkan kebimbangan sekiranya trend buli siber terus berlarutan ia akan menjejaskan keselamatan kanak-kanak dan keluarga.

Terdahulu, media melaporkan seorang pempengaruh TikTok dipercayai membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber selama berbulan-bulan di TikTok. 

Wanita berusia 30 tahun yang sering berkongsi kandungan positif dan kecantikan di TikTok dikatakan ‘diseksa’ oleh sekumpulan akaun TikTok tanpa nama sebelum kematiannya.

Para pelaku, yang bersembunyi di sebalik profil palsu, didakwa mengganggunya tanpa henti dengan kata-kata kesat sehingga membabitkan keluarganya dalam serangan mereka.-HARIAN METRO-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here