Home Buletin Semasa KEBAKARAN BABIT MOTOSIKAL POLIS TRAFIK: POLIS KELANTAN BUKA SIASATAN DALAMAN

KEBAKARAN BABIT MOTOSIKAL POLIS TRAFIK: POLIS KELANTAN BUKA SIASATAN DALAMAN

94
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan berlaku kebakaran membabitkan bangunan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh awal pagi tadi yang turut membabitkan lima motosikal termasuk empat motosikal berkuasa tinggi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik JBPM, manakala PDRM Kontinjen Kelantan turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur lain berkaitan insiden tersebut.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kebakaran struktur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.15 pagi sebelum tindakan segera diambil dengan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 25 minit.

“Kebakaran tersebut menjejaskan struktur bahagian pejabat pentadbiran BSPT selain membabitkan empat motosikal berkuasa tinggi milik PDRM dan sebuah motosikal milik anggota polis,” katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan sama ada membabitkan anggota bertugas mahupun orang awam.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, segala urusan kaunter dan operasi BSPT Pasir Puteh akan diteruskan seperti biasa di premis sementara yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here