Home Hiburan TIGA KALI AARON AZIZ JADI MANGSA ‘LOVE SCAM’

TIGA KALI AARON AZIZ JADI MANGSA ‘LOVE SCAM’

PETALING JAYA : Memetik laporan menerusi Harian Metro, pelakon, Datuk Aaron Aziz, 49, mendedahkan dirinya berdepan situasi tidak dijangka apabila wajahnya dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kegiatan penipuan, termasuk dikaitkan dengan ‘love scam’ sebanyak tiga kali.

Aaron atau pemilik nama Aaron Mustapha Aziz, berkata scammer menggunakan wajahnya yang disunting seolah-olah sedang berbual dengan mangsa melalui panggilan video bagi memperdaya wanita, terutama golongan bujang.

“Saya ada jumpa video scammer yang terbaru. Saya dah banyak kali jadi mangsa penipuan, termasuk ‘love scam’ sebanyak tiga kali.

“Mereka guna dan sunting muka saya seolah-olah saya sedang berbual dengan perempuan itu. Isteri saya membalas mesej itu dan maklumkan kepada mereka bahawa itu semua ‘scam’,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pelakon dan pengarah filem Banduan, semalam.

Menurut Aaron, taktik scammer semakin agresif apabila mereka mensasarkan wanita tertentu malah ada mangsa yang sanggup meminjam wang kerana mempercayai penipuan itu.

“Mereka menampal video itu seolah-olah sedang membuat panggilan video. Semua ini dilakukan demi duit, mereka sasar pada wanita bujang dan berumur. Apabila scammer itu guna profil saya sebagai artis, mereka percaya dan bagi duit, malah ada yang membuat pinjaman,” katanya.

Aaron turut meluahkan kebimbangan mengenai bagaimana maklumat peribadinya boleh diperoleh individu tidak bertanggungjawab itu dan percaya kemungkinan wujud campur tangan pihak ketiga dalam syarikat telekomunikasi atau bank.

“Saya pun tak tahu dari mana mereka dapat nombor telefon. Saya tak tahu mereka ini dari bank ke apa. Mesti ada pihak ketiga yang bekerja dalam syarikat telekomunikasi dan bank,” katanya.

Sebelum ini Aaron pernah menjadi mangsa penipuan termasuk membabitkan sindiket pengurusan Tabung Haji yang menyebabkan kerugian lebih RM140,000, selain membuat laporan polis terhadap empat akaun Instagram yang menjalankan sindiket penipuan menggunakan suara dan fotonya tahun lalu.

Dalam pada itu, filem terbaharunya, Banduan, mencatat kutipan RM8 juta di pawagam seluruh negara, sekali gus merekodkan pencapaian baharu bagi filem aksi tempatan.

Karya arahan Kroll Azry adalah adaptasi daripada filem ‘blockbuster’ India, Kaithi dan mula ditayangkan sejak 6 November lalu.

Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.

Selain Aaron, filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here