Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
Kota Bharu: Pasukan Sukarelawan Bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) (CDA-ERT) Ketereh mengambil tindakan segera melatih 10 anggota baru sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka tidak lama lagi.
Komandernya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, gelombang pertama MTL pada minggu lepas menyaksikan hujan dan ribut luar biasa yang menyebabkan banyak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Bharu.
“Sepanjang tempoh itu, kawasan parlimen Ketereh tidak terlibat dengan bencana itu, tetapi sebahagian anggota dari Ketereh dihantar membantu di kawasan terlibat.
“Lazimnya banjir di kawasan Ketereh akan bermula pada gelombang kedua apabila longkang dan sungai mulai penuh dan tidak mampu menampung hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Saiful Adli berkata kawasan yang terlibat biasanya meliputi Peringat, Melor, Kadok dan Kok Lanas dan lazimnya sekitar lima hingga 10 PPS terlibat.
Beliau berkata, latihan itu meliputi anggota-anggota sukarelawan yang telah tamat kursus asas pada 17 November lalu.
Menurutnya, latihan hari ini adalah khusus untuk pengurusan banjir melibatkan pendaftaran mangsa, pengurusan PPS, pemasangan khemah serta asas pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Penyelia Kanan Pasukan, Lans Koperal Ahmad Akhram Naim dan Penyelaras Kompeni Perubatan, Khairul Nizam Rosli.
Turut hadir, Ketua Kompeni Perubatan CDA-ERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu Dr. Nurul Ain Razali.
Mengulas lanjut, beliau berkata, latihan tambahan sebegini adalah perlu mengambil kira tahap keseriusan bencana ini pada tahun lalu, ditambah pula dengan perubahan global yang menyaksikan pelbagai bencana seperti taufan dan banjir di luar jangkaan sepanjang tahun ini.
Katanya, dijangka dengan kekuatan anggota sedia ada dan baru, CDA-ERT Ketereh mampu menampung tugasan sehingga lima Pusat Pemindahan pada satu-satu masa, termasuk bagi perkhidmatan memindah mangsa dengan bot.
IMedikel TV






