Home Buletin Semasa TIGA JENAZAH MANGSA NAHAS SELAMAT DIKEBUMIKAN DI MELOR

TIGA JENAZAH MANGSA NAHAS SELAMAT DIKEBUMIKAN DI MELOR

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tiga jenazah mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, Gua Musang, selamat dikebumikan secara berasingan di Melor, di sini, pagi ini.

Jenazah ibu tunggal, Maria Yusoff, 42, dan anak bongsunya, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melor Lama pada 10.30 pagi.

Maria dan Muhammad Ziekyr Iman adalah penumpang Perodua Myvi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, pada 7 pagi semalam.

Terdahulu, kedua-dua jenazah dibawa pulang dari Hospital Gua Musang sebelum disembahyangkan di Masjid Mukim Kampung Haji Husin, Melor Lama, di sini, dengan diiringi ahli keluarga serta penduduk kampung.

Sementara itu, jenazah pemandu Perodua Myvi, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong, Melor, pada 8.30 pagi.

Media sebelum ini melaporkan tiga individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah treler yang membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, pagi semalam.

Dalam kejadian terbabit, seorang lagi anak sulung Maria iaitu Nur Balqis Abli, 21, mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here